Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 APRIL 2023 : Seramai 24,472 penerima yang tersenarai di bawah Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2023 bakal menerima bantuan masing-masing sebelum perayaan hari raya selewat-lewatnya 19 April ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kaedah bayaran akan dilakukan sama ada secara bersemuka atau sebaliknya memandang jumlah penerima adalah ramai dengan jumlah peruntukan yang besar berjumlah RM13.285 juta.

“Bayaran dijangka diselesaikan sebelum Aidilfitri, disebabkan jumlahnya banyak, ramai yang terlibat dan saya minta supaya ianya dapat diselesaikan sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Dan ada kaedah-kaedah tertentulah contohnya pesara kerajaan ramai, mana yg kita boleh bagi secara bersemuka kita bagi tetapi mana yang tidak sempat mungkin mereka boleh ambil di pejabat daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2023/1444H yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kuantan, hari ini.
Hadir sama ialah YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang dan ketua-ketua jabatan.
Pada 4 April lalu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy telah mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2023 kepada penjawat awam Kerajaan Pahang dan golongan sasar bagi membantu meringankan beban dalam membuat persiapan perayaan Hari Raya tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, perbincangan perlaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang telah dibincangkan pagi tadi menerima maklum balas baik daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pagi tadi telah berlangsung Taklimat Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 (Anti Lompat Parti) yang telah diadakan oleh Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin bertempat di Bilik Mesyuarat Utama UTC di Kuantan.
Kerajaan Negeri dijangka membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mei depan selepas menerima persetujuan dari kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan Negeri dan pembangkang namun terdapat beberapa perkara perlu diperhalusi. – PAHANGMEDIA