Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika berkenan berkongsi kenangan berkenaan Istana Mangga Tunggal di Pekan

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG KONGSI KENANGAN MEMBESAR DI ISTANA MANGGA TUNGGAL

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 10 APRIL 2023 : “Sini tempat saya bermain dengan rakan-rakan sekolah, main bola tak kira hujan ribut,” demikian titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika berkongsi kenangan berkenaan Istana Mangga Tunggal di sini.

Seri Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan melawat istana yang menjadi tempat baginda diputerakan.

Turut mengiringi keberangkatan baginda berdua, anakanda baginda, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, kenangan bermain bersama rakan-rakan merupakan kenangan paling manis baginda di istana yang dalam proses baik pulih bagi dijadikan muzium tidak lama lagi.

“Saya kenangan (di Istana Mangga Tunggal) dengan budak-budak sekolah saya. Main bola di sini. Tak kira hujan ribut semua main. Lepas main bola kita panjat pokok rambutan semua,” titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika berkenan berkongsi kenangan berkenaan Istana Mangga Tunggal di Pekan

Seri Paduka Baginda juga berkenan membawa pengamal media yang hadir melihat kamar baginda diputerakan 64 tahun lepas pada tanggal 30 Julai 1959.

“Ini dulu (di lantai) ada lubang (tempat) bonda saya lahirkan saya, bukan (lahir) di hospital. Dulu ada lubang tapi sekarang dah tiada (ditutup). Kemudian saya besar sikit, saya duduk di bilik itu (kamar lain),” titah baginda.

Baginda turut berkongsi memori bersama Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad ketika di dapur dan tempat santap serta kamar yang didiami baginda ketika kecil bersama adinda baginda, YAM Tengku Muda Tengku Abdul Rahman Al-Haj ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Dalam lawatan hampir setengah jam berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkongsi kisah gangguan yang pernah dialami kakanda baginda dan petugas istana tersebut.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

Seri Paduka Baginda juga menzahirkan hasrat untuk membuka istana berkenaan yang kini masih mengekalkan perabot dan perhiasan asal kepada orang ramai dan menjadikannya galeri.

Nama Istana Mangga Tunggal ini yang dibina pada 1934 oleh seorang tukang Melayu mahir iaitu Awang Mat Ali diambil dari sepohon pokok mangga yang berbuah hanya sebiji pada setiap kali musim berbuah di kawasan istana tersebut.

Istana satu tingkat yang diperbuat daripada kayu dan beralaskan tiang batu ini merupakan tempat bersemayam Almarhum Sultan Ahmad Shah sebelum baginda bersemayam di Istana Abu Bakar. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram