YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika pengumuman Dividen Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) Tahun 2022

1,430 ANGGOTA KOSMA TERIMA DIVIDEN RM30.4 JUTA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 10 APRIL 2023 : Seramai 1,430 anggota Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) akan menerima agihan dividen berjumlah RM30.4 juta sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, selain pengagihan dividen, pihak KOSMA turut membuat pembahagian keuntungan unit ladang berjumlah RM30.2 juta di mana setiap unit akan memperoleh RM6,500.

Beliau berkata, berdasarkan perolehan atau hasil sektor perladangan untuk tahun 2022, KOSMA mencapai hasil pendapatan berjumlah RM237 juta berbanding RM 222 juta pada tahun 2021.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Keuntungan bersih KOSMA pada tahun 2022 berjumlah RM84 juta berbanding RM74 juta pada tahun 2021. Keuntungan ini memberi manfaat kepada 1,430 anggota koperasi.

“Oleh yang demikian, adalah dicadangkan bayaran dividen sebanyak 55 peratus akan dibayar kepada semua anggota yang layak pada tahun 2022.

“Bayaran ini melibatkan Bayaran Pendahuluan 10 peratus yang akan dibayar secara berperingkat bermula 13 April 2023 serta keuntungan Unit Ladang sebanyak RM6,500 seunit yang akan dibayar penuh mengikut unit yang dimiliki oleh anggota,” katanya.
pada sidang media Pengumuman Dividen Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) Tahun 2022.

Hadir sama ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, Pentadbir KOSMA, YH. Dato’ Haji Zazali Haron dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Pahang, Encik Ibrahim Hussain.

Pada majlis sama, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan van serbaguna kepada dua penerima iaitu Masjid Tepian Putra Kuantan dan Sekolah Menengah Agama Al-Maarif Kuantan manakala van jenazah pula diberikan kepada tiga penerima iaitu Masjid Al-Athar FELDA Kesumba Jengka 9, Bandar Jengka, Masjid Al-Munir Kampung Selamat, Kuantan dan Masjid Al-Musta’in Billah Kampung Paya Luas, Kuala Krau. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram