Oleh : Fansurina Abdullah
JERANTUT, 6 APRIL 2023 : Kerajaan Pahang melalui Majlis Daerah Jerantut (MDJ) melaksanakan inisiatif sempadan hijau atau Zon Penampan (kawasan hijau) di bawah Draf Rancangan Tempatan Daerah Jerantut 2020 (Pengubahan 2) yang melibatkan kawasan di sepanjang 277.16 kilometer sebelum garisan sempadan negeri Kelantan dan Terengganu.
Sempadan hijau yang membabitkan keluasan 11,156.66 hektar di Jerantut ini akan diwartakan sebagai hutan simpan kekal menurut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata, ini adalah keputusan Kerajaan Pahang pada tahun 2021 menerusi Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang yang telah memutuskan Zon Penampan yang melibatkan seluas 500 meter daripada persempadanan negeri di seluruh Negeri Pahang.
“Jadi sempadan dengan negeri itu, jadi 500 meter daripada sempadan tu, kawasan itu tidak boleh dilakukan apa-apa, makna kita letak di situ Zon Hijau.
“Mungkin kalau kita tengok sekarang ini zon atau pun border (sempadan) itu mungkin di tengah-tengah hutan belantara, yang itu tiada masalah tetapi ada jugak sempatan yang terletak berdekatan dengan bandar seperti di Kuantan antara Cherating dengan Kemaman, jadi kalau itu kita nak ikutkan keputusan itu 500 meter memang tidak boleh diadakan sebarang aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Jerantut 2020 (Pengubahan 2) yang berlangsung di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut di sini, hari ini.
Hadir sama ialah YDP Majlis Daerah Jerantut (MDJ), YH. Dato’ Khairun Nissa Aris, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pahang, YBhg TPr Nik Noraisu Nik Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setisausaha Kerajaan (SUK) Pahang, YBhg Encik Wan Mohd Salleh Che Wan Jaafar.
YB. Dato’ Sri Johari berkata, selain pelaksanaan inisiatif sempadan hijau ini, pengubahan ini juga perlu dilaksanakan berasaskan dua sebab utama lain iaitu pengubahan zon guna tanah dan kelas kegunaan tanah serta penyediaan kawasan pelupusan sisa pepejal.
Rancangan Tempatan Daerah Jerantut 2020 (Pengubahan 2) disediakan bagi menyelaras pembangunan guna tanah yang didapati berubah akibat tekanan pembangunan kesan daripada hartanah semasa di Jerantut.
Ia juga bertujuan memastikan semua pembangunan yang dilaksanakan sentiasa mematuhi RT Daerah Jerantut terutama dari aspek kawalan perancangan.
Dalam pada itu, YDP Majlis Daerah Jerantut (MDJ), YH. Dato’ Khairun Nissa Aris berkata, menerusi RT ini juga, pihaknya bercadang mewujudkan pusat pelupusan sisa pepejal di Padang Piol, Jerantut yang mana sebelum ini kebanyakan sisa pepejal di hantar ke pusat pelupusan di Jengka 10. – PAHANGMEDIA