YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

IMAM, BILAL DAN SIAK MASJID TERIMA BANTUAN KHAS AIDILFITRI 2023

KUANTAN, 5 APRIL 2023 : Kerajaan Pahang terus prihatin terhadap rakyat di negeri ini apabila bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Aidilfitri 2023 kepada Imam, Bilal serta Siak masjid di seluruh Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 980 orang Imam masjid akan menerima RM300 setiap seorang dengan jumlah peruntukan RM294,000.

“Bilal masjid pula akan menerima RM200 setiap seorang yang melibatkan 877 orang penerima dengan jumlah peruntukan RM175,400.

“Siak masjid pula akan menerima RM200 setiap seorang yang melibatkan 854 orang penerima dengan jumlah peruntukan RM170,800,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, tambahan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM640,200 yang memberi manfaat kepada 2,711 orang penerima.

Secara keseluruhan bagi keenam-enam kategori ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM13,597,100 yang memberi manfaat kepada 25,684 orang penerima menerusi Bantuan Khas Aidilfitri 2023 ini.

Bantuan kepada golongan sasar ini juga dilaksanakan berdasarkan kepada keupayaan kewangan Kerajaan Negeri.

“Saya berharap menerusi bantuan khas ini, ia dapat mengurangkan beban penerima terutamanya dalam membuat persiapan menjelang perayaan Aidilfitri,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram