Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 06 APRIL 2023 : Program pengisian rohani bagi golongan belia perlu diteruskan di bulan lain juga selain Ramadan bagi memastikan golongan ini memiliki keseimbangan dalam kehidupan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata program sedemikian dapat menjadi benteng kepada golongan belia terutamanya di negeri ini dalam menghadapi cabaran.
“Ini satu program yang sangat bagus dan saya gesa JBS (Jabatan Belia dan Sukan) untuk memperkasakan program ini bukan sahaja di bulan Ramadan tapi juga di bulan-bulan yang lain.
“Kita tak nak belia kita sarat dengan program-program sukan, program-program belia, e-sports sahaja sebab pengisian rohani ini penting dan ini sebenarnya benteng kepada anak-anak muda untuk mendepani pelbagai cabaran yang wujud pada hari ini.
“Ia (cabaran) khususnya daripada media sosial yang merupakan pengaruh yang besar, yang kita lihat menyebabkan ramai yang menjadi lalai dari sudut itu (kerohanian),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepass menyampaikan sijil kepada para peserta Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Pahang 2023 di Masjid Tepian Putra di sini.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri juga akan membantu memperkasakan program ini juga ke seluruh negeri ini mengikut daerah bagi memastikan manfaat yang diperoleh daripada program ini dapat disebarkan kepada golongan belia.
“Bagi tahun hadapan saya telah minta program ini diperkasakan. Maksudnya ia akan turut dilaksanakan di setiap daerah dan kemudian kita akan berada di Kuantan, ibu negeri Pahang ini untuk pelaksanaan di peringkat negeri.
“Kita nak biar program sebegini melibatkan seramai mungkin anak-anak muda belia kita termasuk di daerah-daerah seluruh Pahang,” katanya.
Seramai hampir 200 pelajar daripada institusi pengajian tinggi dan sekolah di sekitar Kuantan telah menyertai program ini yang berlangsung selama dua hari. -PAHANGMEDIA