Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 20 MAC 2023 : Pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau di sini adalah satu sejarah bagi Negeri Pahang dalam memastikan pendidikan masyarakat Orang Asli di negeri ini terjamin.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana kadar keciciran pelajar Orang Asli di daerah ini melebihi 35 peratus sebelum ini.
“Hari ini bersejarah bagi kita di Pahang ini kerana ini adalah tuntutan Kerajaan Negeri apabila kita dapati kadar keciciran di kalangan masyarakat Orang Asli begitu tinggi.
“Saya pernah menjadi exco Luar Bandar menjaga hal ehwal Orang Asli, kadar keciciran melebihi daripada 35 peratus. Keciciran terbahagi kepada dua ketika itu, ada yang selepas Darjah 6 dia tidak pergi sekolah, dan ada yang masuk sekolah tetapi dia kena pergi ke Lipis dan bila cuti dia tidak balik dah (ke sekolah).
“Jadi saya telah meminta supaya sekolah SMK Betau dinaiktaraf ke K11 dan ketika itu hanya diluluskan setakat K9, dan kita buat tuntutan lagi, Alhamdulillah sekarang ia telah dapat diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Lawatan Kerja YB. Menteri Pendidikan Sempena Pengoperasian Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) Secara Rintis di SMK RPS Betau hari ini.
Turut hadir, YB. Menteri Pendidikan Malaysia, Puan Fadhlina Sidek; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Datuk Pkharuddin Ghazali; dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Mohammad Rosli Abdul Rahman.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberi kerjasama sebaik mungkin kepada Kerajaan Persekutuan terutamnya dari segi pendidikan.
“Saya percaya dengan adanya K11 di sini kadar keciciran dalam masyarakat Orang Asli terutamanya para pelajar kita akan dapat diminimakan.
“Ini juga jelas menunjukkan bahawa masyarakat Madani yang diperkatakan oleh YAB Perdana Menteri telah kita realisasikan, kita buktikan, kita praktikkan, dan ianya menjadi kenyataan. Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya YB Menteri Pendidikan,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut memohon pembinaan asrama bagi memenuhi permintaan pada masa akan datang dapat dibina di sekolah ini memandangkan terdapat peningkatan kadar penduduk Orang Asli.
“Oleh sebab saya dapati dijangkakan satu tindakan proaktif buat masa ini perlu dipohon asrama, bukanlah untuk setahun dua tapi untuk masa-masa akan datang.
“Saya percaya dan sangat yakin berlaku peningkatan penduduk di kalangan masyrakat Orang Asli pertambahannya agak tinggi, jadi saya tidak mahu ada yang tidak dapat duduk di asrama dan ianya menyukarkan mereka datang ke sekolah kerana ada enam buah sekolah rendah yang jauh dari sini, jadi keperluan asrama itu mendesak jugalah,” katanya.
Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) menempatkan pelajar dari Darjah 1 sehingga Tingkatan 3 manakala Komprehensif 11 (K11) bermula dari Darjah 1 sehingga Tingkatan 5. -PAHANGMEDIA