Antara jentera yang dirampas di lombongan haram di kawasan Ulu Jelai di Lipis.

JABATAN PERHUTANAN NEGERI PAHANG SEGERA BAIK PULIH KAWASAN LOMBONG HARAM

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 20 MAC 2023 : Jabatan Perhutanan Negeri Pahang akan menyegerakan kerja-kerja pemulihan kawasan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti perlombongan haram di kawasan Ulu Jelai di Lipis.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd berkata, usaha pemulihan tersebut akan dilaksanakan dengan menjalankan penanaman semula sebaik sahaja proses siasatan berhubung isu berkenaan selesai.

“Satu pasukan siasatan juga akan ditubuhkan bertujuan mempercepatkan siasatan bagi mengesan pelombong haram selain melakukan pemantauan oleh anggota dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti Forest Monitoring Remote Sensing (FMRS), planet.com dan mempertingkatkan pemantauan secara rondaan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan laporan oleh Harian Metro, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah menemui sebanyak tujuh kolam dipercayai digunakan sebagai penapis selain untuk mengasingkan unsur nadir bumi (REE).

Serbuan telah dilakukan pada 16 Mac lepas di Kompartmen 411 HS Ulu Jelai di Lipis.

Kegiatan tersebut telah dilakukan oleh sindiket di lokasi berkenaan yang dianggarkan berkeluasan 0.28 hektar dan pihaknya telah menjumpai beberapa jentera dan peralatan yang dipercayai akan digunakan oleh pelombong haram.

Sementara itu katanya, kes ini disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta Perhutanan Negara (Pemakaian) 1984 dan semua barang sitaan dihantar ke Stor Barang Sitaan Batu 18, Tersang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram