Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Johari Harun ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Jamuan Malam Perasmian Penutupan Latihan Kompetensi Pasukan Keselamatan Kebakaran, Emergengy Response Team (ERT) Tahun 2023 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) semalam

LATIHAN ERT BANTU TAHAP KESIAPSEDIAAN HADAPI KECEMASAN TAK DI DUGA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 MAC 2023 : Latihan Kompetensi Pasukan Keselamatan Kebakaran, Emergengy Response Team (ERT) dilihat dapat membantu tahap kesiapsediaan orang ramai dalam menghadapi kecemasan tidak di duga di tempat kerja.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata pasukan ini juga perlu ada di setiap premis bagi memberi bantuan awal.

“Pentingnya pasukan keselamatan ini untuk berada di setiap premis kerana dilihat dapat membantu dalam melakukan proses pengungsian bangunan pada peringkat awal kejadian kecemasan itu berlaku.  

“Masyarakat zaman ini mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada agensi penyelamat terutama bomba kerana trend cara hidup yang semakin berubah.  

“Saya yakin ini juga merupakan salah satu cabaran yang dihadapi oleh agensi penyelamat seperti bomba untuk menyebarkan ilmu serta latihan yang sewajarnya kepada masyarakat dalam memantapkan kesiapsiagaan dalam situasi kecemasan yang tidak diduga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Jamuan Malam Perasmian Penutupan Latihan Kompetensi Pasukan Keselamatan Kebakaran, Emergengy Response Team (ERT) Tahun 2023 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini.

Turut hadir, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; dan Pengarah JBPM Pahang, YH. Dato’ Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Menurut beliau, kempen kesedaran yang sentiasa dijalankan oleh pihak bomba juga adalah sangat penting untuk mengingatkan masyarakat tentang keselamatan di tempat kerja.

“Selain daripada itu, suka saya sebutkan berkaitan pentingnya kempen kesedaran yang sentiasa dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, ini kerana ia merupakan salah satu cara untuk kita memperingatkan masyarakat berkaitan keselamatan di tempat kerja dan sebagainya.

“Tugas yang dilakukan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terutamanya di negeri Pahang ini dalam kempen-kempen kesedaran amatlah bagus untuk kita semua bagi memastikan kita semua sentiasa peka tentang keselamatan khususnya berkaitan keselamatan kebakaran,” katanya.

Seramai 880 peserta daripada 88 premis telah menyertai latihan pada hari ini dengan setiap premis menghantar 10 peserta sebagai wakil. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram