Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Pembelaan anjing tidak lebih daripada dua ekor bagi keluasan premis yang kurang daripada 1,000 meter persegi adalah antara syarat perlesenan anjing di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata syarat lesen ini digunapakai di dalam Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing.
“Tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan atau menyenggara seseekor anjing yang telah mencapai umur tiga bulan melainkan jika anjing itu dilesenkan di bawah undnag-undang kecil Pelesenan Anjing. Pembelaan anjing tidak lebih daripada dua ekor bagi keluasan premis yang kurang daripada 1,000 meter persegi dan tidak lebih daripada empat ekor bagi keluasan premis melebihi 1,000 meter persegi.
“Menyelenggara anjing dan rumah anjing di mana anjing ditempatkan dalam keadaan bersih pada setiap masa. Mengambil langkah perlu untuk memastikan bahawa anjing itu tidak membuang najis dan kencing di tempat awam dan membuang dari premisnya apa-apa bahan najis anjing itu mengikut cara atau kaedah yang tidak menyebabkan kesalahan atau kacau ganggu bau serta kesusahan kepada orang lain dan tidak mengalirkan air basuhan atau cucian anjing dan najis anjing ke jalan awam.
“Mengambil langkah yang perlu untuk memastikan bahawa anjing itu tidak akan mengacau ganggu dengan salakan yang tidak berhenti-henti atau selainnya kepada jirannya. Memastikan bahawa anjing itu berada di bawah kawalan berkesan seseorang melalui tali atau rantai pada setiap masa apabila anjing itu di bawa keluar daripada premis pemunya. Tidak memelihara anjing dari jenis baka-baka terlarang seperti yang telah disenaraikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya.
Beliau berkata mengikut syarat lesen yang dikeluarkan ini turut melibatkan larangan membawa anjing ke tempat awam seperti kompleks membeli belah, pasaraya, rumah ibadat, pejabat kerajaan atau swasta, hotel dan taman permainan.
“Pemunya anjing perlu mengemukakan kad vaksinansi bagi anjingnya yang masih sah dan pengesahan status anjing yang telah dimandulkan daripada Pegawai Veterinar Negeri Pahang atau lain-lain doktor veterinar yang berdaftar apabila memohon lesen atau diminta oleh Pegawai Kesihatan.
“Penguatkuasaan boleh dilakukan pada bila-bila masa tapa perlu memaklumkan kepada pemunya terlebih dahulu,” katanya.
Menurut beliau, syarat memelihara haiwan peliharaan seperti anjing di taman perumahan adalah berdasarkan Seksyen 24 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dimana pemilik haiwan peliharaan hendaklah memastikan keperluan haiwan dipenuhi.
“Tindakan yang boleh diambil ialah pihak penguatkuasa akan membuat pemantauan terhadap aduan berkaitan pencemaran atau kacau ganggu awam yang melibatkan keselamatan dan kebersihan binatang peliharaan, sekiranya didapati pemilik melanggar syarat-syarat dalam memelihara anjing peliharaan tersebut, tindakan penguatkuasaan dimulakan dengan mengemukakan notis menghilangkan kacau ganggu.
“Sekiranya notis tersebut diabaikan tindakan kompaun akan dikenakan di bawah Seksyen 120 Akta 133 ingkar notis. Tindakan penguatkuasaan terhadap premis/kediaman yang melakukan kesalahan berkaitan pencemaran binatang peliharaan adalah didenda tidak melebihi RM500 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak, YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Daud berkenaan syarat memelihara haiwan peliharaan seperti anjing di taman perumahan dan tindakan diambil bagi mengatasi masalah yang berkaitan pencemaran akibat binatang peliharaan semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini. – PAHANGMEDIA