Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

SIDANG DEWAN NEGERI : 126 KAMPUNG ORANG ASLI TERLIBAT PROJEK INFRASTRUKTUR KOMUNIKASI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Sebanyak 126 kampung Orang Asli telah tersenarai di bawah projek infrastruktur komunikasi yang sedang dan telah dilaksanakan di negeri ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata projek ini adalah dibawah Plan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pahang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Usaha tambah baik perkhidmatan komunikasi dan internet dibawah Plan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pahang bersama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut meliputi Kampung Orang Asli (KOA).

“Ini bagi memastikan komuniti Orang Asli juga dapat menikmati kemudahan internet seperti penduduk di kawasan bandar.

“Sehubungan dengan itu, berdasarkan semakan daripada senarai lokasi projek semasa, sebanyak 126 KOA telah pun tersenarai di bawah projek infrastruktur komunikasi yang sedang dan telah dilaksanakan. Daripada jumlah ini, terdapat 43 KOA yang tidak termasuk dalam senarai dan akan dimasukkan dalam perancangan projek yang akan datang.

“Ini melibatkan lima lokasi di Rompin; Bera (sembilan); Kuantan (satu); Lipis (sembilan); Bentong (satu); Pekan (dua); Raub (sembilan); dan Jerantut (lima),” katanya.

Menurut beliau lagi, projek Broadband Wireless Access yang merupakan salah satu projek di bawah JENDELA telah dilaksanakan di 69 KOA di Pahang.

“Pelaksanaan di semua 69 KOA telah pun siap sepenuhnya pada bulan April 2022. Ini melibatkan satu KOA di Bentong; Jerantut (satu); Cameron Highlands (lapan); Pekan (empat); Temerloh (dua); Raub (dua); Rompin (tiga); dan Lipis (48),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong berkenaan liputan rangkaian 4G di kampung Orang Asli semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram