Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Sebanyak 118 aduan harga telah diterima dan disiasat oleh dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang sepanjang tahun ini.
Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, ini tidak termasuk 83 notis dikeluarkan dibawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.
“Kenaikan harga barangan tidak asing lagi dalam masyarakat kita hari ini. Walau bagaimanapun, KPDNHEP sentiasa cakna akan isu-isu semasa dengan melakukan pemantauan diseluruh Pahang.
“Sepanjang tahun ini sebanyak 188 aduan harga yang telah diterima dan telah disiasat dan 83 notis dibawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga yang disyaki mencatut iaitu mengambil keuntungan yang tidak munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif berkenaan langkah yang akan di ambil oleh KPDNHEP Negeri Pahang bagi mengatasi masalah kenaikan harga barangan semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Katanya, bagi mengawal kenaikan harga barangan di pasaran di negeri ini juga, pelbagai operasi telah dijalankan.
“KPDNHEP Negeri Pahang juga telah menjalankan Ops Catut 9.0, Ops Rantai 8.0 serta Ops Pasar 2022 bagi mengawal kenaikan harga barangan dipasaran,” katanya. – PAHANGMEDIA