Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Pembangunan dan penyediaan infrastruktur berkaitan bekalan air merupakan projek terbesar di Pahang pada tahun hadapan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, agenda air di Pahang mempunyai beberapa komponen termasuklah perlaksanaan pelan strategik bagi menyelesaikan gangguan bekalan air secara berperingkat dan pembinaan pelbagai infrastruktur baharu di seluruh negeri.
Komponen lain adalalah membaiki dan menaiktaraf infrastruktur seperti loji dan sistem paip sedia ada, semakan tarif dan kecekapan pentadbiran, pencarian sumber-sumber air baharu dan pemantapan pengurusan aset-aset air negeri.
“Kesemua ini, secara keseluruhannya melibatkan peruntukan melebihi separuh bilion, yang akan dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Bagi memastikan perlaksanaan projek-projek berjalan lancar, saya sendiri akan memantau status pelaksanannya. Kita akan memastikan wujud laporan perkembangan dan kemajuan berkala yang tersusun, tegas dan telus,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta agar semua pihak dapat bekerjasama dalam menghadapi sebarang bencana dengan mengetepikan segala perbezaan ideologi dan parti apabila berhadapan situasi bencana alam saban tahun ni negeri ini.
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM47 juta bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bencana dan banjir di Pahang dengan pembelia bot amfibia, pembinaan Pusat Pemindahan Banjir Kekal, pembinaan landasan pendaratan helikopter, pembelian instrumen sistem amaran awal banjir, serta pembelian bot penyelamat yang ditempatkan di Pejabat Penghulu. – PAHANGMEDIA