Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman

SIDANG DEWAN NEGERI : HOSPITAL BERA DIJANGKA BEROPERASI SEPENUHNYA PERTENGAHAN TAHUN HADAPAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Hospital Bera yang memulakan operasi secara rasmi pada 1 Julai lepas dijangka beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, ini disebabkan pengoperasian semua unit di hospital ini secara berperingkat.

“Pengoperasian kesemua unit di Hospital Bera adalah secara berperingkat bergantung kepada penerimaan peralatan dan juga pengisian sumber manusia. Hospital Bera dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun 2023.

“Projek Hospital Bera telah diserahkan secara rasmi oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 27 Mei 2022. Hospital Bera telah memulakan operasi secara rasmi pada 1 Julai 2022 melibatkan Unit Kecemasan dan Pusat Saringan Antenatal Dewan Bersalin (Patient Assessment Centre, PAC).

“Pada 2 Ogos 2022, Dewan Bersalin, Wad Bersalin (8 katil) dan Wad Kanak-kanak (8 katil) telah mula beroperasi secara rasmi. Sehingga 14 September 2022, lapan kelahiran direkodkan di Hospital Bera. Dan sehingga 1 September 2022, perkhidmatan lain yang telah beroperasi adalah termasuk Unit Farmasi, Unit Makmal Patologi dan Unit Sajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Triang, YB. Cik Leong Yu Man berkenaan perkhidmatan yang telah dibuka dan akan dibuka di Hospital Bera semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Katanya, bagi enam lagi unit termasuk klinik dan wad dijangka dapat beroperasi mengikut tarikh jangkaan.

“Untuk pengoperasian berikutnya, jangkaan tarikh adalah unit X-Ray pada 19 September 2022; wad dewasa pada 3 Oktober 2022; Klinik Pakar juga pada 3 Oktober 2022; Unit Forensik pada 3 Oktober 2022; Unit Rehabilitasi pada 3 Oktober 2022; dan Unit Hemodialisis pada 3 April 2023,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram