Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin

SIDANG DEWAN NEGERI : JAWATANKUASA PEMBANGUNAN WARGA EMAS PAHANG KOMITMEN KERAJAAN KEPADA WARGA EMAS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Kerajaan Negeri telah mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri (JPWEN) Negeri Pahang bagi menunjukkan komitmen kepada warga emas di negeri ini.

Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata pengwujudan JPWEN ini juga selari dengan polisi yang digariskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat.

“Di Negeri Pahang telah diwujudkan Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri (JPWEN) Pahang yang menunjukkan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.

“Selain itu, mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan berkesan serta membangunkan persekitaran yang memboleh dan membantu supaya warga emas hidup sejahtera.

“Di antara program utama bagi pembangunan warga emas adalah pewujudan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap daerah yang memfokuskan kepada lima dimensi program atau aktiviti iaitu Penuaan Sihat (Dimensi Kesihatan), Penuaan Aktif (Dimensi Sosial), Penuaan Produktif (Dimensi Ekonomi), Penuaan Positif (Dimensi Kerohanian) dan Penuaan Menyokong (Dimensi Persekitaran),” katanya ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long berkenaan pelan jangka pendek dan jangka panjang yang dirangka oleh Kerajaan Negeri bagi mendepani cabaran ambang status negara menua dan insiatif Kerajaan Negeri berkaitan aspek menjaga kebajikan rakyat seperti rumah-rumah orang tua.

Menurut beliau lagi, setakat ini sebanyak 19 buah rumah warga emas direkodkan berdaftar di bawah Kerajaan Negeri Pahang.

Beliau berkata Kerajaan Pahang juga memberikan bantuan kepada warga emas yang tidak mempunyai waris serta yang memenuhi syarat dan berkelayakan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri juga memfokuskan kepada warga emas yang tidak mempunyai waris, kita berikan bantuan iaitu Bantuan Am sebanyak RM350 kepada warga emas.

“Dan mulai tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan Kad Kesihatan Warga Emas bernilai RM500 kepada setiap warga emas yang memenuhi syarat dan berkelayakan bagi mendapatkan rawatan di klinik swasta yang menjadi panel Kerajaan Negeri,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram