Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Isu pemberian Rumah Rakyat Pahang (RRP) berdasarkan kaum tidak timbul sama sekali dalam menjadi penentu dalam proses pemberian rumah berkenaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana Kerajaan Pahang memberikan rumah berkenaan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja.
“Berhubung dengan Rumah Rakyat Pahang ini, yang pertama sekali pengerusinya adalah Pegawai Daerah yang mempengerusikan untuk siapa yang layak. Menentukan tanpa mengira bangsa atau kaum.
“Yang terkini untuk makluman, saya pergi ke Lipis, turun padang bila diberitahu ada dua buah rumah daripada kaum Cina yang uzur, teruk sangat, dan bila saya pergi, saya terus meluluskan dua buah rumah. Maknanya isu kaum ini tidak timbul, kita kira siapa yang benar-benar layak.
“Sebab itu di negeri Pahang ini bila kita sebut Bantuan Prihatin Pahang kita sebut bantuan prihatin yang bersasar. Bila kita sebut Rumah Rakyat Pahang kita bagi pada mereka yang benar-benar layak. Malahan ada satu kes tersilap di mana lelaki itu betul miskin, tetapi isterinya tidak disebut jawatan dan sebagainya. Apabila kita dapati tidak layak, kita tarik balik. Jadi tidak timbullah isu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Ahli Dewan Negeri semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, YB. Puan Young Syefura Othman yang meminta Kerajaan Negeri memberikan jumlah pecahan penerima manfaat projek RRP ini mengikut kaum.
ADN Ketari dalam sesi perbahasan beliau juga turut melahirkan sokongan terhadap usaha Kerajaan Pahang dalam menangani masalah kemiskinan haid dalam kalangan remaja wanita golongan B40.
“Ketari ingin menyatakan sokongan terhadap usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri untuk menangani masalah kemiskinan haid di kalangan remaja wanita dari golongan B40. Ramai yang tidak menyedari betapa seriusnya isu kemiskinan haid ini. Ia bukan sahaja melibatkan remaja bahkan ia melibatkan semua wanita dari golongan B40.
“Oleh itu Ketari meminta pertimbangan pihak Kerajaan Negeri agar usaha dan inisiatif ini diperluaskan kepada golongan wanita bukan sahaja golongan remaja, tetapi untuk semua wanita dari golongan B40.
“Kemiskinan haid ini juga bukan sahaja berkaitan dengan isu kesusahan golongan wanita untuk mendapatkan tuala wanita. Kekurangan air bersih untuk membersihkan diri ketika di datangi haid juga antara aspek yang termasuk di dalam kemiskinan haid ini,” katanya. – PAHANGMEDIA