Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang masih dalam perancangan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti sepertimana yang telah diluluskan di Parlimen sebelum ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wa Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menggubal RUU Anti-Lompat Parti pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 kali ini namun tidak dapat dilaksanakan kerana kesuntukan masa.
“Undang-Undang Anti Lompat Parti ini sebenarnya Kerajaan Negeri nak ‘table’ dalam sidang dewan ini tetapi saya telah mendapat pandangan dan nasihat daripada YB Penasihat Undang-Undang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, yang pertama sekali perlu digazetkan dahulu maknanya selepas dibentang.
“Digazetkan baru kita boleh buat, tetapi kita telah tetapkan tarikhnya lebih awal dan ada jangka masa tertentu untuk dibawa ke dalam dewan ini jadi masa suntuk, tak cukup,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab perbahasan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong berhubung penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti pada Sesi Perbahasan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.
Justeru, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy meminta agar YB. Encik Chiong Yoke Kong tidak perlu bimbang kerana keluusan RUU Anti-Lompat Parti sememangnya berada di dalam perancangan Kerajaan Pahang.
Pada 28 Julai lalu, RUU Anti-Lompat Parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat. – PAHANGMEDIA