Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : “Berpeluk tubuh dan menyalahkan takdir bukanlah pilihan.” itu ujar YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap berkenaan bencana dan musibah.
Beliau berkata, berbekalkan semangat ingin membantu, Kerajaan Negeri tidak akan mengalah dan menyerah jika diuji dengan bencana alam.
“Justeru, untuk tahun 2023, kita sudah menyusun pelbagai langkah dan persediaan. Antara langkah utama yang akan kita laksanakan adalah pertama, memperkenalkan Dasar Pengurusan Bencana Negeri Pahang dan Disaster Data Bank Negeri Pahang.
“Dasar ini adalah bagi membantu pembuatan keputusan yang pantas dan betul di peringkat daerah dan negeri sebagai langkah untuk berhadapan dengan bencana. Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM500,000 untuk usaha ini.
“Kedua, Program Pasca Banjir. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM47 juta bagi program pasca banjir seluruh negeri yang akan dilaksanakan pada tahun 2022 sehingga 2023.
“Peruntukan ini telah digunakan untuk melakukan perolehan dan perbelanjaan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir di negeri ini.
“Misalnya, pembelian bot amfibia, pembinaan Pusat Pemindahan Banjir Kekal, pembinaan landasan pendaratan helikopter, pembelian instrumen sistem amaran awal banjir, seta pembelian bot menyelamat yang ditempatkan di Pejabat Penghulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan projek pasca banjir berkaitan infrastruktur jalan, saliran dan cerun di negeri ini.
“Projek Penyenggaraan Monsoon Drain di daerah Pekan dan Kuantan sebanyak RM1.09 juta. Kerja pembaikan cerun dan naik taraf infrastruktur jalan yang rosak akibat banjir berjumlah RM1.3 juta.
“Pemasangan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh sebagai langkah pencegahan di tiga daerah yang mempunyai rekod dan risiko paling tinggi berlaku runtuhan tanah atau cerun iaitu di Cameron Highlands, Bentong dan Raub berjumlah RM3.5 juta,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah bersetuju meluluskan penubuhan Unit Pengurusan Bencana Negeri Pahang bagi memperkemas pengurusan bencana banjir supaya lebih pantas, teratur dan cekap.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM7.6 juta bagi pengurusan bantuan kepada mangsa bencana di seluruh negeri ini.
“Langkah ketiga adalah melalui penubuhan Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP).
“Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM7.6 juta bagi tujuan pengurusan bantuan kepada mangsa bencana di seluruh negeri selain menaikkan kadar apungan tabung bantuan bencana di setiap daerah daripada RM20,000 kepada RM50,000,” katanya. – PAHANGMEDIA