Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain bersama peserta yang menyertai Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang di ruang legar Berjaya Megamall, Kuantan hari ini.

PAHANG BERCADANG ADAKAN HARI SUKAN NEGERI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang

KUANTAN, 08 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang bercadang mengadakan Hari Sukan Negeri Pahang yang lebih menjurus kepada sukan tradisional.

Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata Hari Sukan Negeri Pahang ini dijangka akan diadakan tahun ini.

“Dan saya menyambut baik juga semalam, dalam pembetangan Belanjawan 2023 oleh YAB Menteri Besar Pahang juga ada menyebut, selain dari Hari Sukan Negara (HSN), kita juga akan buat Hari Sukan dalam acuan negeri kita dengan mengambil semangat Hari Sukan Negara.

Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain bersama peserta yang menyertai Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang di ruang legar Berjaya Megamall, Kuantan hari ini.

“Kita akan buat Hari Sukan Negeri Pahang yang dijangkakan bermula tahun ini juga tapi kita akan ambil masa sedikit selepas HSN tapi sebelum sampai musim Monsun Timur Laut (MTL),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Gimik Pelancaran Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang di ruang legar Berjaya Megamall di sini.

Beliau berkata Hari Sukan Negeri Pahang ini akan terdapat sedikit pertambahan aktiviti yang bersifat tradisional berbanding aktiviti semasa HSN.

“Kita akan ada sedikit pertambahan aktiviti yang lebih menjurus kepada acara tradisional seperti sukan rakyat .

“Ini kerana sukan rakyat ini ada yang tidak dipertandingkan diperingkat MSSD, MSSP, MSSM, dan temasya sukan lain. Maknanya kita ambil sukan yang melibatkan kelompok etnik seperti Orang Asli dan kampung-kampung tradisi.

“Ini semua kita akan ambil kira, kerana kita mengambil semangat membudayakan sukan sebagai cara hidup,” katanya.

Menurut beliau sukan tradisional diangkat dalam Hari Sukan Negeri Pahang bertujuan memberi peluang kepada rakyat di negeri ini menyertai acara sukan yang terlibat.

Mengulas mengenai pertindihan acara dan smabutan diantara Hari Sukan Negeri Pahang dan Hari Sukan Negara, beliau berkata perkara tersebut bukan masalah yang perlu dibangkitkan.

“Kita tidak melihat itu satu masalah kerana yang kita pentingkan ialah penyertaan masyarakat bagi menjamin kesihatan melalui penyertaan di dalam acara sukan.

“Kita juga mahu memberi peluang kepada rakyat untuk berinteraksi antara satu sama lain, bersilaturrahim, dan menyemai semangat perpaduan lebih daripada isu pertindihan berkenaan,” katanya.

Seramai 160,000 pengunjung direkodkan telah menghadiri sambutan Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang yang diadakan serentak di kesemua 11 daerah di negeri ini bermula semalam.

Sebanyak 16 acara dijalankan pada Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 Oktober sehingga esok. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram