BELANJAWAN PAHANG : KADAR ELAUN PENGERUSI JPKK DINAIKKAN RM1,000

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 7 OKTOBER 2022 : Kerajaan Negeri menaikkan kadar elaun Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kepada RM1,000 berkuatkuasa 1 Januari 2023.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia sebagai menghargai JPKK di negeri ini.

“Kerajaan Negeri turut menumpu kepada usaha pemantapan Jawatankuasa
Pembangunan dan Keselamatan Kampung atau JPKK di seluruh negeri.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.32 juta bagi tujuan ini. Selain itu, sebagai menghargai JPKK, Kerajaan Negeri bersetuju menaikkan kadar elaun Pengerusi JPKK iaitu daripada RM750 kepada RM1,000 sebulan berkuat kuasa 1 Januari 2023.

“Semoga kenaikan elaun ini menjadi pembakar semangat untuk mereka terus mencurahkan bakti dan khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu katanya, Kerajaan Negeri memperutukkan RM220,000 bagi pelaksanaan kajian-kajian Rancangan Pembangunan Negeri Pahang.

“Sekalipun kita mahu merancakkan agenda pembangunan di seluruh Pahang, kita perlu memastikan segala agenda tersebut adalah
teratur.

“Kerajaan Negeri melalui PLANMalaysia@Pahang akan memberi tumpuan kepada rancangan pembangunan bandar bagi memastikan proses urbanisasi di negeri ini dilaksanakan secara sistematik .

“Untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM220,000 bagi pelaksanaan kajian-kajian Rancangan Pembangunan Negeri Pahang serta Rancangan Tempatan Daerah di daerah Rompin, Maran dan Bera,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram