Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang menggariskan tiga inisiatif yang perlu diberi tumpuan bagi menjayakan Pelan Pembangunan Gebeng bagi membangunkan ekosistem pelaburan yang kondusif agar Pahang menjadi destinasi pilihan pelabur.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Daerah Kecil Gebeng dikelaskan sebagai hub transit Pantai Timur yang merangkumi logistik udara, darat, dan laut.
“Paling besar antara semua adalah inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Gebeng. Pelan ini akan menyaksikan antara lain, Daerah Kecil Gebeng dikelaskan sebagai hab transit pantai timur yang merangkumkan keperluan logistik udara, darat dan laut.
“Bagi menjayakan pelan ini, terdapat tiga inisiatif yang perlu diberi tumpuan iaitu, pertama, cadangan Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan yang bernilai RM 2 bilion.
“Kedua, pembangunan kemudahan kuarters pekerja seluas 9 ekar di Kawasan Perindustrian Gebeng, melibatkan peruntukan sejumlah RM25 juta.
“Ketiga, pembinaan pelabuhan darat di jajaran ECRL dan pengukuhan fungsi Pelabuhan Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri mengambil serius dalam membangunkan ekosistem pelaburan yang kondusif agar Pahang menjadi destinasi pilihan pelabur.
“Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan domestik adalah kritikal dalam melonjak pertumbuhan ekonomi negeri. Atas kesedaran ini, Kerajaan Negeri serius dalam membangunkan satu ekosistem pelaburan yang kondusif agar Pahang menjadi destinasi pilihan pelabur.
“Untuk itu, Kerajaan Negeri telah mewujudkan gerbang Invest Pahang dengan memperkenalkan konsep Location Centric Approach atau ringkasnya LCA.
“Pendekatan LCA ini telah memberi impak langsung kepada penambahan 62 peratus nilai pelaburan yang masuk daripada RM12.69 bilion pada tahun 2021 kepada RM20.56 bilion pada tahun 2022. Melihat kepada keberkesanannya dalam melonjak kemasukan pelaburan, maka pendekatan LCA ini akan diteruskan pada 2023,” katanya.
Menurut beliau, Ease of Doing Business Index meletakkan Negeri Pahang sebagai antara negeri terbaik dari segi penawaran fasiliti dan pemudahcara pelabur.
“Sudah pasti pencapaian ini membawa banyak kesan domino yang positif seperti kewujudan peluang pekerjaan yang merupakan kesan spill over secara langsung kepada industri sampingan.
“Pencapalian ini juga merupakan antara manfaat hasil kolaborasi Pahang bersama beberapa buah negara yang kita usahakan pada tahun ini.
“Antaranya dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Korea, China, Uzbekistan, Jerman dan Singapura. Bagi memastikan momentum kemasukan FDI tersebut berterusan dan dapat digandakan, Kerajaan Negeri telah merancang beberapa pelan pemerkasaan infrastruktur logistik,” katanya.
Tambah beliau, keterlibatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelaburan seharusnya menjadi penegasan penting kepada semua pihak.
“Betapa setiap daripada kita mesti berganding bahu dalam memberikan yang terbaik kepada negeri ini, tidak kiralah dari aliran politik mana sekali pun kita,” katanya. – PAHANGMEDIA