Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 7 OKTOBER 2022: Kestabilan dan kejayaan Pahang memperoleh sasaran hasil sebanyak RM1 bilion menyaksikan usaha menjaga kebajikan rakyat dipertingkat dan diperluas secara bersasar.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM42.4 juta diperuntukkan bagi tahun 2023 di mana peningkatan sebanyak RM8 juta dicatat melibatkan seramai 217,100 orang penerima.
“Antara bantuan terbaharu ialah sumbangan untuk mengambil lesen motor kepada anak muda berusia 18 hingga 21 tahun yang akan menerima RM200 ringgit melibatkan 3,600 orang penerima dengan jumlah RM720,000.
“Sumbangan turut diberikan kepada anak muda Food Rider yang akan menerima RM200 melibatkan 5,000 orang penerima dengan jumlah RM1 juta,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Tahun 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, peruntukan sebanyak RM1 juta mewakili sumbangan RM500 kepada 2,000 orang jemaah Haji Pahang selain perhatian kepada 4,642 orang mualaf yang akan menerima RM200 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM928,400.
“Seramai 500 orang warga emas akan menerima subsidi sebanyak RM3,000 bagi pembedahan katarak mata dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta.
“Pengerusi JPKK, Pengerusi JPKKOA, Tok Batin dan Timbalan Pengerusi JKKR, masing-masing akan menerima RM500 manakala Setiausaha akan menerima RM200 seorang melibatkan 2,186 orang penerima dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.53 juta,” katanya. – PAHANGMEDIA