Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 7 OKTOBER 2022: Peruntukan sebanyak RM148.23 juta disediakan bagi memperkasakan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pahang dan Jabatan Mufti Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan sebanyak RM1.85 juta disediakan bagi tujuan pembangunan yang merangkumi pelbagai usaha perolehan aset, perbelanjaan modal insan serta pembinaan dewan serbaguna dan bangunan akademik.
“Selain itu peruntukan sama digunakan bagi penyelenggaraan dan menaiktaraf bangunan di bawah pentadbiran JAIP termasuk Pejabat Agama Islam Daerah dan asrama sekolah-sekolah di bawah pengurusan JAIP.
Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan Belanjawan Tahun 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata sebanyak RM900,000 diperuntukkan bagi pemerkasaan institusi pendidikan Islam melalui penambahbaikan kemudahan peralatan mengajar dan ICT di 18 buah sekolah agama rakyat.
“Selain itu, kita akan turut membina baharu asrama lelaki Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar, Jerantut dengan kos RM7 juta.
“Dan terakhir, Kerajaan Negeri meluluskan usaha membaiki tangki air utama di Maahad Sultan Ahmad Shah, Jengka dengan peruntukan sebanyak RM300,000,” katanya. – PAHANGMEDIA