KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan melihat pembuatan kain tenun Sarawak pada Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 di Hotel Marriott Putrajaya hari ini.

WARISAN SENI TRADISIONAL HARUS DIPELIHARA, DIPERTAHANKAN – KDYMM RAJA PERMAISURI AGONG

Oleh: Zulkhairil Zainuddin
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

PUTRAJAYA, 26 SEPTEMBER 2022: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandarian Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj mahukan agar warisan seni tradisional dipelihara dan dipertahankan agar ia tidak menjadi catatan dalam buku sejarah sahaja.

Baginda bertitah bahawa rakyat Malaysia, rakan-rakan dari ASEAN dan negara lain harus bersatu bagi memelihara, mempromosi serta meraikan warisan budaya masing-masing.

“Saya berdiri di hadapan anda di sini hari ini bukan sahaja sebagai Permaisuri Malaysia, tetapi sebagai penjaga kepada setiap bentuk kesenian dan kraftangan. Bukan sekadar tekstil, tetapi sebarang bentuk kesenian yang membentuk warisan kita.

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 di Hotel Marriott Putrajaya hari ini.

“Melalui warisan kita, kita meraikan persahabatan. Perjalanan kita bersama adalah untuk memastikan seni warisan kita bukan sahaja dihidupkan tetapi juga dipelihara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 (8th ASEAN Traditional Textiles Symposium 2022) di Hotel Marriott Putrajaya, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan untuk merasmikan simposium tersebut.

Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Baginda bertitah bahawa perlu terus mencari cara untuk mengekalkan kesenian dan kraf. Cabarannya ialah bagaimana untuk menggalakkan pemelihara budaya berkongsi kemahiran dan pengetahuan mereka bagi memastikan budaya dan tradisi tidak berhenti atau mati bersama mereka.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan melihat tenunan songket pada Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 di Hotel Marriott Putrajaya hari ini.

“Kita hidup dengan harapan yang telah ditetapkan oleh nenek moyang dan perkara ini penting dan kritikal untuk kita lakukan agar kesenian dan kraf tradisional tidak menjadi peninggalan masa lampau atau sekadar catatan dalam buku sejarah,” titah baginda.

Baginda juga bertitah, selama dua dekat yang lalu, perjalanan baginda untuk memelihara dan menghidupkan tradisi kebudayaan bermula apabila baginda memberi fokus kepada pembangunan dan penjenamaan semula tenun Pahang ke Tenun Pahang Diraja di Pulau Keladi, Pekan.

“Ia bukannya satu perjuangan yang mudah tetapi dengan berkat kesabaran dan ketekunan serta sokongan pelbagai pihak terutamanya sokongan daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, akhirnya usaha saya ini berjaya menjadikan kesenian lama yang semakin dilupakan ini menjadi sebuah industri yang dinamik.

“Malah Tenun Pahang Diraja kini semakin dikenali dan sudah mampu untuk dijual,” titah baginda.

Dalam majlis itu juga, baginda turut mengumumkan penubuhan Persatuan Artisan Diraja Malaysia, sebuah persatuan untuk mengiktiraf segelintir tukang mahir untuk mereka meneruskan perjuangan dalam industri kraf negara.

Malaysia telah diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 (8th ASEAN Traditional Textiles Symposium 2022) yang berlangsung selama enam hari bermula 25 hingga 30 September 2022 di Hotel Marriott Putrajaya.

Membawakan tema ‘Celebrating Textiles: A Journey’, simposium yang dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja ini menghimpunkan lebih kurang 300 penggiat seni tekstil, artisan dan penenun dari negara-negara ASEAN dan rantau lain untuk membincangkan serta berkongsi maklumat mengenai isu berkaitan pemeliharaan dan kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ASEAN dan rantau lain.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong bersama KDYMM Pemangku Raja Pahang ketika tiba pada Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 di Hotel Marriott Putrajaya hari ini.

Sebanyak 19 kertas kerja akan dibentangkan oleh 13 buah negara yang terlibat iaitu Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Kanada, Laos, Filipina, Myanmar, Belanda, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Lebih menarik lagi, simposium yang dianjurkan dua tahun sekali ini turut menampilkan pameran tekstil termasuk koleksi tenun peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta demonstrasi pembuatan kraf seperti Tenun Pahang Diraja, songket, siambitan Sabah, pua kumbu Sarawak, anyaman mengkuang, ukiran kayu dan lain-lain serta jualan pelbagai kraf.

Simposium Tekstil Tradisional ASEAN telah bermula sejak tahun 2005 di mana Indonesia merupakan penganjur pertama dan diteruskan lagi di Filipina pada tahun 2009, Malaysia (2011), Vietnam (2013), Thailand (2015), Brunei (2017) dan kali terakhir di Indonesia (2019).-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram