Oleh: Zulkhairil Zainuddin
Foto: Putera Faliq Hakim Suhairi
PUTRAJAYA, 26 SEPTEMBER 2022: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj menghargai sumbangan dan peranan Kerajaan yang telah menyokong dalam memastikan seni kraf tradisional negara terus dipelihara.
Baginda bertitah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah membantu dalam program keusahawanan, pemasaran dan penyelidikan untuk penggiat seni kraftangan tempatan agar industri kraf ini terus dapat bertahan untuk generasi masa depan.

“Institut Kraf Negara sebagai contohnya merupakan salah satu usaha Kerajaan untuk mempromosi dan memelihara kesenian dan kraftangan tradisional negara seperti anyaman, ukiran kalu, logam halus, batik, seramik dan sebagainya menerusi kursus-kursus yang ditawarkan di institut berkenaan.
“Selain itu satu lagi institut yang dibiayai Kerajaan ialah Institut Tenun Pahang Diraja Tengku Besar Mariam di Pekan yang menawarkan kursus tenunan Tenun Diraja Pahang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 (8th ASEAN Traditional Textiles Symposium 2022) di Hotel Marriott Putrajaya, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan untuk merasmikan simposium tersebut.

Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong bertitah, baginda turut menghargai usaha Jabatan Penjaran keranan memainkan peranan dalam memelihara dan menghidupkan seni kraf negara seperti tenun dan pembuatan batik melalui program-program pemulihan mereka.
Baginda bertitah, apabila industri tenun hampir pupus pada tahun 2015, Jabatan Penjara telah menghidupkan semua seni tenun yang telah wujud di Pahang kira-kira 1,000 tahun yang lalu.
“Menerusi program ini, para banduan bukan sahaja diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan mereka apabila keluar dari penjara kelak, tetapi menerusi mereka, saya dapat melihat harapan tenunan Pahang ini dapat diteruskan untuk generasi akan datang,” titah baginda.
Baginda juga bertitah, sebuah perkampungan baharu bakal diwujudkan iaitu Kampung Al-Sultan Abdullah di atas tanah 20 ekar yang akan disedikan oleh Kerajaan Pahang yang bukan sahaja dapat menyediakan tempat tinggal untuk bekas-bekas banduan tetapi memberi peluang untuk mereka membina semula kehidupan dalam persekitaran yang bersepadu dan kondusif.
“Melalui kampung ini saya ingin terus memberi harapan kepada mereka (bekas banduan) iaitu harapan yang kita dapat kongsi bersama untuk mereka mulai perjalanan kempali ke pangkuan masyarakat. Malah mereka boleh menggunakan pusat-pusat kraf untuk mempromosikan tenunan tradisional dan juga kesenian secara umumnya yang boleh meningkatkan ekonomi mereka dan juga negara,” titah baginda.-PAHANGMEDIA