Oleh : Mahathir Ali
KUANTAN, 27 SEPTEMBER 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM10,000 bagi bagi tujuan menaiktaraf kemudahan ICT di bilik-bilik darjah di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tengku Ampuan Fatimah di sini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, peruntukkan ini adalah bagi memastikan pembelajaran di sekolah berkenaan mengikut teknologi yang terkini sekaligus tidak akan ketinggalan dalam bidang-bidang berkaitan ICT.
“Selaku EXCO Kerajaan Pahang dan juga ADN Bebar seperti yang telah diamanahkan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail, saya mengumumkan peruntukkan berjumlah RM10,000 bagi tujuan menaiktaraf kemudahan ICT di sekolah ini.
“Saya akan memanjangkan permohonan dari pihak sekolah kepada YAB Menteri Besar untuk kelulusan bagi menaiktaraf kelengkapan dan fasiliti lain yang difikirkan perlu,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (2022) SMA Tengku Ampuan Fatimah.
Sementara itu, beliau juga menekankan kepentingan semua pelajar, ibu bapa dan guru-guru untuk terus muafakat dan berganding bahu dengan PIBG sekolah demi melahirkan pelajar yang cemerlang akademik.
“Tahniah diucapkan buat semua penerima anugerah kecemerlangan bagi kategori Pelajar Cemerlang, Guru-guru Cemerlang, Kecemerlangan Kokurikulum dan Sukan, Nasyid dan Tilawah, Tahfiz Al-Quran, Seni Khat, Syarahan dan lain-lain lagi,” katanya. – PAHANGMEDIA