Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
MARAN, 2 SEPTEMBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan masjid sebagai medan berpolitik.
Baginda bertitah, pengurusan masjid hendaklah berusaha untuk mengimarahkan masjid dan menjadikannya tempat berhimpun umat Islam untuk membentuk ikatan dalam hubungan manusia dengan Allah dan juga sesama manusia.
“Jangan sesekali menjadikan masjid sebagai tempat untuk mencerca sesama umat, bertelingkah dan apatah lagi menjadikan masjid sebagai sebuah gelanggang politik.
“Jadikan masjid sebagai sebuah institusi yang menerajui kebaikan, sebuah pusat kegiatan umat islam dan jadikan masjid bagaikan sebuah lilin yang menyinar masyarakat setempat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat dan merasmikan Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-63 ini, hari ini.

Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Hj Osman serta barisan EXCO Negeri Pahang dan pemipin setempat.
Pada majlis berkenaan juga, baginda turut berkenan mengisytihar masjid berkenaan sebagai masjid daerah yang baru dengan nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam pada itu baginda bertitah, peranan masjid boleh dikembangkan dengan pelbagai fungsi yang lain termasuk sebagai pusat aktiviti ekonomi, kesukanan, persatuan, pembelajaran dan kemasyarakatan.
“Natijahnya, masjid adalah merupakan sebuah “one stop centre” yang boleh memberi faedah dan manfaat kepada masyarakat setempat.
“Berasaskan daripada itu, pengurusan masjid mesti lebih berpandangan jauh dan bersifat proaktif untuk melangkah keluar dari masjid dengan mengunjungi ahli-ahli kariah.
“Menerusi cara ini, pelbagai bantuan akan dapat dihulurkan kepada masyarakat setempat di samping merapati dan berdakwah kepada mereka yang masih belum lagi merapatkan diri dengan rumah Allah,” titah baginda.
Baginda bertitah, semua usaha itu akan berupaya untuk merungkai pelbagai keperluan masyarakat setempat secara lebih sistematik yang akhirnya bakal membentuk sebuah masyarakat madani yang bersatu padu.
Tegas baginda lagi, masjid perlu diperkasakan mengikut realiti zaman kerana ianya merupakan benteng terakhir untuk perpaduan dan kesatuan umat Islam. -PAHANGMEDIA