Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
MARAN, 2 SEPTEMBER 2022 : Sebanyak 48 buah masjid yang telah siap, sedang dan akan dibina di negeri Pahang sejak 2018 melibatkan peruntukan sebanyak RM185.5 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberi perhatian terhadap kemajuan dan keperluan terhadap institusi agama Islam selaras dengan kedudukannya di dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi bagi Persekutuan.
“Menghayati kedudukan itu, maka Kerajaan Negeri sentiasa menyediakan peruntukan yang besar bagi memperkasakan institusi agama Islam yang antaranya melibatkan pembangunan dan pembinaan masjid dan surau.
“Sejak dari tahun 2018 sehingga tahun 2022, sebanyak 15 buah masjid baharu telah siap dibina dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM58.4 juta termasuklah Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka ini yang menelan kos sebanyak RM9.5 juta.
“Selain itu, masih terdapat 16 buah masjid yang sedang dalam pembinaan dengan peruntukan sebanyak RM47.1 juta dan sebanyak 17 buah masjid lagi akan dibina yang melibatkan peruntukan sebanyak RM80 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada majlis perasmian Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-63, hari ini.
Pada majlis sama baginda turut berkenan mengisytihar masjid berkenaan sebagai masjid daerah yang baru dengan nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Hj Osman serta barisan EXCO Negeri Pahang dan pemipin setempat.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut memaklumkan empat buah lagi masjid di negeri ini dinaiktaraf sebagai masjid daerah iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Felda Sungai Koyan, Masjid Negeri Lama Kuala Lipis, Masjid Baharu Benta dan Masjid Sultan Abu Bakar Temerloh.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri juga bercadang menjadikan beberapa masjid di Negeri Pahang sebagai Pusat Sehenti Setempat atau One Stop Center yang akan memberi pelbagai perkhidmatan dan kemudahan kepada masyarakat sesuai dengan fungsi sebuah masjid.
“Kerajaan Negeri akan terus berusaha bagi memastikan syiar Islam di bumi bertuah ini terus subur dan berkembang agar umat Islam di Negeri Pahang ini dapat menikmati segala kemudahan untuk melaksanakan ibadah dengan sempurna dan selesa,” katanya. -PAHANGMEDIA