Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 01 SEPTEMBER 2022 : Pahang menyasarkan 33 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) kali ke-20 yang akan berlangsung pada 16 hingga 24 September ini di Kuala Lumpur.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 557 atlet daripada negeri ini akan menyertai 29 daripada 32 jenis sukan yang dipertandingkan.

“Kita menyasarkan kutipan pingat sebanyak 33 emas, 20 perak, dan 46 gangsa, ini sasaran kita. Kalau kita dapat mencapai sasaran tersebut, insyaAllah kita akan dapat menduduki tempat kelima.
“Kita meletakkan target pada sukan silat, golf, menembak, bola, memanah dan lain-lain yang disenaraikan dalam sasaran 33 pingat emas,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera, Kontinjen SUKMA Pahang di Dataran Esplanade, di sini.
Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin;YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) merangkap Ketua Kontinjen (CDM), YH. Dato’ Hamdan Hussin.
Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang juga memberikan duit poket sebanyak RM350 setiap seorang kepada atlet yang memasuki temasya sukan ini.
“Bagi tujuan menggalakkan lagi dan untuk memastikan mereka membawa pulang pingat emas kita akan memberi ganjaran kepada mereka nanti.
“Ini menjadi amalan kita di Pahang, di mana kita menghargai perjuangan dan kehebatan mereka semasa bertanding. Jumlah akan kita beritahu kemudian, yang penting ada insentif dan ianya berpatutan dengan apa yang mereka (atlet) dapat,” katanya.
Seramai 625 peserta kontinjen termasuk 68 orang jurulatih, pegawai perubatan, dan urusetia akan mewakili Pahang dalam temasya selama sembilan hari yang menawarkan 426 acara membabitkan 223 acara lelaki, 184 wanita dan 19 campuran daripada 31 jenis sukan.
Pahang sebelum ini berada pada kedudukan keenam bagi acara keseluruhan dengan meraih 33 pingat emas, 20 pingat perak, dan 30 pingat gangsa pada SUKMA Perak 2018. -PAHANGMEDIA