Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB. Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Pahang 2022 antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan Kerajaan Negeri Pahang hari ini.

MITI KENALPASTI PROJEK BERKUALITI UNTUK WILAYAH EKONOMI PAHANG BARAT PLUS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 09 OGOS 2022 : Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengenalpasti projek berkualiti untuk dibawa masuk ke Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB. Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelaksanaan Wilayah Pahang Barat Plus ini juga adalah selari dengan dasar pelaburan negara.

“…cadangan untuk membangunkan dan mewujudkan kluster ekonomi Wilayah Ekonomi Baharu di Pahang Barat ini adalah selari dengan dasar pelaburan negara.

“Di mana kita mahu mengimbangi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi diseluruh negeri Pahang dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu kawasan sahaja.

“Maka MIDA telah pun memberikan jaminan dalam mesyuarat pagi ini dimana kita akan mengenalpasti apakah projek-projek yang akan dibawa ke Pahang Barat untuk memastikan cadangan ini dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Pahang 2022 antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan Kerajaan Negeri Pahang.

Hadir sama YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; dan Ketua Setiausaha Kementerian MITI, YBhg. Dato’ Sri Lokman Hakim Ali.

Beliau berkata perkara ini juga akan dibincangkan bersama Kementerian Kewangan bagi melihat insentif yang ada untuk menarik para pelabur.

“Dan sudah tentulah kita akan membincangkan dengan Kementerian Kewangan untuk melihat insentif-insentif bagi menarik pelaburan yang berkualiti ke Pahang Barat disamping menyediakan satu jumlah peruntukan dan pembangunan yang lebih saksama untuk memastikan infrastruktur di Industrial Park di negeri Pahang ini dapat dinaiktaraf supaya pelabur-pelabur merasakan ekosistem dan juga keadaan ini amat menarik bagi mereka melabur di negeri Pahang.

“Antara sektor yang telah dikenalpasti adalah pembangunan pelancongan, pertanian berteknologi tinggi kerana ini juga merupakan satu usaha untuk menjamin sekuriti makanan dan bekalan makanan di dalam negara kita dan Pahang mampu menyumbang ke arah matlamat tersebut, ” katanya.

Sementara itu, YAB Menteri Besar Pahang berkata pengwujudan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus ini adalah bertujuan sebagai platform bagi memastikan kawasan Pahang Barat tidak lagi ketinggalan.

“Ketinggalan Pahang Barat ini memang tidak dapat kita nafikan daripada segi pembangunan ekonomi, pendapatan per kapita, dan sebagainya.

“Jadi saya percaya dengan adanya Wilayah Pahang Barat ini ia akan menjadi satu vehicle, satu platform untuk kita pastikan Pahang Barat ini keadaannya tidak lagi ketinggalan seperti sekarang ini.

“Bila kita dah kenalpasti, kita tak boleh biarkanlah, sebab itu kita wujudkan Pahang Barat Plus ini. Dan hari ini kita minta MITI untuk endorse dan beri dorongan supaya kita dapat percepatkan apa-apa usaha untuk pembangunan di Pahang Barat Plus,” katanya.

Penubuhan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus ini telah diluluskan pada 2020 meliputi lima kluster industri utama iaitu kluster pelancongan; kluster pertanian; kluster perkayuan; kluster mineral; dan kluster perkhidmatan.

Kawasan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus ini melibatkan kawasan seluas 1.978 juta hektar iaitu 55 peratus daripada keluasan negeri Pahang meliputi enam daerah iaitu Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Cameron Highlands, dan Bera. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram