Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB. Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Pahang 2022 antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan Kerajaan Negeri Pahang hari ini.

PAHANG ANTARA NEGERI TERBAIK PENAWARAN FASILITI, PEMUDAHCARA KEPADA PELABUR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 9 OGOS 2022 : Negeri Pahang muncul antara negeri terbaik dari segi penawaran fasiliti dan pemudahcara kepada para pelabur di negara ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB. Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini merupakan keputusan yang dikeluarkan oleh badan antarbangsa seperti Ease Of Doing Business Index.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB. Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

“Kita MITI melihat potensi yang cukup besar bagi negeri Pahang, dan kalau kita lihat dari segi indikator dan indeks-indeks yang dikeluarkan oleh badan antarabangsa, khususnya Index Ease of Doing Business, Pahang muncul antara negeri yang terbaik dalam memastikan fasilitasi dan memudahcara perniagaan dan proses-proses kelulusan itu berjalan dengan cepat, pantas.

“Jadi ini memberikan harapan kepada pelabur-pelabur asing dan tempatan untuk terus menjadikan Pahang sebagai destinasi pelaburan di masa yang akan datang,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Pahang 2022 antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan Kerajaan Negeri Pahang hari ini.

Hadir sama YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Ketua Setiausaha Kementerian MITI, YBhg. Dato’ Sri Lokman Hakim Ali.

Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Pahang 2022 antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan Kerajaan Negeri Pahang hari ini

Beliau berkata, MITI juga telah menyatakan komitmen untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan Kerajaan Pahang pada masa hadapan.

“Kita melihat Pahang adalah antara negeri yang telah membantu mencerdaskan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19 dan potensi yang ada di negeri Pahang ini cukup besar yang harus kita wujudkan kerjasama bagi merealisasikan aspirasi negara untuk muncul semula sebagai sebuah negara yang dapat memacu pertumbuhan yang lestari di masa akan datang,” katanya. (7:03)

Menurut beliau lagi, Pahang juga merupakan negeri pertama yang mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Pahang 2022 bersama pihak MITI. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram