Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 09 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang merupakan negeri ketiga terendah dalam mengenakan kadar cukai tanah terutamanya bagi kategori perindustrian berbanding negeri lain di dalam negara.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu hantaran di media sosialnya berkata ini kadar cukai yang dikenakan adalah diantara RM0.50 sehingga RM0.70 semeter persegi.
“Pagi tadi saya bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB. Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Pahang 2022 antara MITI dan Kerajaan Negeri Pahang, yang menyentuh banyak aspek mengenai pembangunan perindustrian, perdagangan dan pelaburan di peringkat negeri.
“Dalam mesyuarat tersebut, saya memaklumkan bahawa kadar cukai tanah di Negeri Pahang terutamanya bagi kategori Perindustrian adalah yang ketiga terendah di negara ini.
“Kadar cukai bagi kategori Perindustrian di Pahang adalah antara RM0.50 hingga RM0.70 semeter persegi berbanding negeri lain yang berkadar RM3.80 semeter persegi,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Pahang baru-baru ini juga telah memperkenalkan Cukai Khas bagi kategori lapangan terbang dan pelabuhan di negeri ini.
“Baru-baru ini pula, Kerajaan Negeri Pahang telah memperkenalkan Cukai Khas bagi kategori Lapangan Terbang dan Pelabuhan yang berkadar RM0.40 semeter persegi sahaja.
“Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengenakan Cukai Perindustrian bagi kategori Lapangan Terbang dan Pelabuhan, namun demi menjadikan perniagaan dan pelaburan di Negeri Pahang kekal kompetitif dan berdaya saing, Cukai Khas ini diwujudkan,” katanya.
Beliau berharap dengan kadar cukai yang rendah ini dapat menarik para pelabur untuk melabur di negeri ini dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi negeri.
“Saya berharap dengan kadar cukai yang serendah ini, ia secara langsung dapat menarik kehadiran para pelabur untuk menanam modal di negeri ini, sekaligus mampu melonjak ekonomi untuk faedah rakyat dan Negeri Pahang.
“Ia juga diharap mampu menangkis dakwaan dan tohmahan kononnya kadar cukai tanah di Pahang adalah tinggi.
“Cukai ini dikutip bertujuan untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya,” katanya. -PAHANGMEDIA