Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 6 JULAI 2022 : Kerajaan Pahang memeterai dua perjanjian persefahaman (MoU) bersama pemaju utama dan rakan strategik bagi Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan Pemajuan Pembangunan Bercampur Bandar Aero-angkasa di Hotel Zenith, di sini, hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk turut berangkat menyaksikan majlis tersebut.
Kerajaan Pahang telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporation Sdn Bhd, YH. Dato’ Mohd Khusaini Harumaini telah menandatangani MoU bagi projek Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan bersama Pengerusi Eksekutif Gading Group Berhad, YH. Dato’ Sri Johari Harun selaku pemaju utama dan Ketua Perwakilan AVIC Intl ke Malaysia, Encik Zhuo Yue selaku rakan strategik.
Projek pembinaan lapangan terbang ini dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2026 dengan kos pembangunan sebanyak RM2 bilion.
Bagi projek Pemajuan Pembangunan Bercampur Bandar Aero-angkasa pula, MoU telah ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif Gading Group Berhad, YH. Dato’ Sri Johari Harun selaku pemaju utama dan Pengarah Syabas Seribumi Sdn Bhd, Encik Mohamad Nor Hamid selaku rakan steategik.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berimpak tinggi ini melibatkan pemindahan lapangan terbang sedia ada ke kawasan baharu sekaligus menyokong Rancangan Fizikal Negara Ke-3 iaitu sebagai bandar pembangunan transit nasional (udara, darat dan laut) secara bersepadu.
“Bagi projek ini, Kerajaan Pahang mensasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya 1 peratus daripada pasaran Maintenance, Overhaul & Repair (MRO) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai RM15 trilion di mana 70 peratus komponen projek melibatkan MRO manakala 30 peratus lagi adalah pengoperasian lapangan terbang itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya selepas mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Menandatangani MoU di Hotel Zenith, di sini.
Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, lokasi projek di Gebeng itu turut mengambil kira hub ekonomi yang lain selain berdekatan dengan Pelabuhan Kuantan dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri Pantai Timur.
Menurut beliau, pembangunan projek ini akan dilakukan di atas tanah seluas 5,042 hektar di Gebeng, Kuantan berkonsepkan pembangunan secara Build-Operate-Own (BOO) dan bakal membuka 50,000 peluang pekerjaan baharu membabitkan sektor pengoperasian lapangan terbang, perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.
“Justeru, saya berharap dengan termeterainya MoU ini, perancangan untuk mewujudkan Bandar Aero-angkasa Pahang ini dapat direalisasikan mengikut perancangan seterusnya akan menjadikan Pahang sebagai pilihan utama pelabur berdasarkan kepada perkhidmatan yang disediakan selain faktor geo-ekonomi yang strategik di Pantai Timur,” katanya. – PAHANGMEDIA