KUANTAN, 6 JULAI 2022: Tiga Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dari Kerajaan Negeri Pahang berjaya menempa kejayaan dalam pentas pertandingan inovasi peringkat antarabangsa, International Innovation ARSVOT Malaysia 2022 (IAM2022) anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, Kementerian Sumber Manusia melalui Persatuan Penyelidik Latihan Kemahiran dan Vokasional atau Association of Researcher of Skills and Vocational Training (ARSVOT), baru-baru ini.
Kejayaan ketiga-tiga kumpulan itu iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan direkodkan dalam kategori terbuka yang menyaksikan keseluruhan 363 kumpulan dari dalam dan luar negara bersaing merebut anugerah yang ditawarkan.
Pada majlis pengumuman pemenang yang berlangsung secara dalam talian pada 26 Jun 2022, kumpulan KIK dari Pejabat Daerah dan Tanah Raub yang membawakan projek inovasinya iaitu Trackalert Filing System mendapat tempat ketiga hanya dibelakang kumpulan dari Hospital An-Nur di tempat pertama dan kumpulan dari syarikat gergasi korporat Sime Darby di tempat kedua. Sebelum itu, mereka bersaing dalam sesi pembentangan akhir tiga kumpulan terbaik yang berlangsung pada 25 Jun 2022.
Pengumuman tersebut sekaligus menempatkan mereka sebagai pemenang Anugerah Emas (Gold Award) selain menambah koleksi anugerah apabila turut meraih Anugerah Terbaik (Best Award) dan persembahan terbaik (Best Presenter Award).
Selain itu, turut melengkapkan senarai enam kumpulan terbaik dalam Anugerah Emas (Gold Award) tersebut ialah kumpulan KIK dari Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang menerusi projek inovasi Sistem E-Maklumbalas manakala Kumpulan KIK dari Pejabat Daerah dan Tanah Pekan pula mendapat Anugerah Saguhati (Consolation Award) menerusi projek Kiosk Interaktif milik mereka.
Kesemua pemenang membawa hadiah berupa wang tunai, sijil, dan medal.
Sementara itu, Ketua Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Puan Nurul Aini Mohammad berkata, penyertaan kumpulan KIK dari Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Pahang ini ke pertandingan peringkat antarabangsa tersebut diselaraskan oleh Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang melalui Seksyen Kualiti dan Inovasi (QI). Malah penyertaan dan Pencapaian ini merupakan yang pertama direkodkan di Negeri Pahang.
“Pencapaian yang membanggakan di pentas antarabangsa ini membuktikan inovasi dalam perkhidmatan awam negeri ini mempunyai nilai dan potensi untuk dikembangkan serta diimplimentasikan dalam perkhidmatan bagi meningkatkan prestasi tadbir urus dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat negeri ini,” katanya.-PAHANGMEDIA