YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama anggota sukarelawan Pahang yang menyertai misi bantuan banjir ke Baling, Kedah di Wisma Sri Pahang, Kuantan malam tadi.

PAHANG GERAKKAN MISI BANTUAN BANJIR KE BALING

Oleh : Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 7 JULAI 2022 : Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) serta beberapa buah NGO membawa misi bantuan banjir termasuk menjalankan kerja-kerja kesukarelawan ke daerah Baling, Kedah.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pasukan bantuan tersebut adalah satu kewajipan yang sepatutnya dihulurkan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melakukan flag off pergerakan anggota sukarelawan Pahang yang menyertai misi bantuan banjir ke Baling, Kedah di Wisma Sri Pahang, Kuantan malam tadi.

“Ia (bantuan) dituntut agama. Kerajaan Negeri Pahang telah menerima bantuan daripada Kedah sebelum ini ketika kita terkesan akibat musibah sama (banjir), jadi selain menerima bantuan dari negeri-negeri lain, kita wajib membantu mereka.

“Perancangan singkat iaitu pada pagi semalam telah membawa kepada misi bantuan ini malah bencana ini amat dekat dengan negeri Pahang kerana kita di sini seringkali berhadapan dengan musibah situasi banjir.

“Sukarelawan yang tampil juga melebihi sasaran awal iaitu hanya 50 hingga ke 60 orang. Saya amat berharap misi ini sikit sebanyak dapat membantu mangsa di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan flag-off pelepasan konvoi terdiri daripada 120 anggota sukarelawan yang bertolak ke Baling kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang merangkap Timbalan Pengerusi MTSP, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin serta Setiausaha Politik kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Tajul Razi Abdul Aziz.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail memberi kata-kata semangat kepada anggota sukarelawan Pahang yang menyertai misi bantuan banjir ke Baling, Kedah di Wisma Sri Pahang, Kuantan malam tadi.

Beliau juga berkata, misi yang dijalankan selama dua hari sehingga Jumaat ini akan menumpukan usaha membersihkan rumah-rumah atau mana-mana bangunan yang terjejas akibat bencana tersebut.

Bantuan ini katanya dapat meringankan lagi usaha dilaksanakan jabatan dan agensi kerajaan di bawah penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Baling yang terbabit banjir.

“Kita juga membawa dua lori bantuan makanan kering serta air minuman untuk diberikan kepada mangsa terjejas.

“Bantuan awal sebegini biasanya amat diperlukan mangsa terutamanya mereka yang berteduh di pusat-pusat pemindahan banjir selepas rumah musnah akibat bencana itu,” katanya.

Beliau turut menasihati para sukarelawan agar menjaga keselamatan diri dan disiplin ketika dalam perjalanan dan melaksanakan misi ke sukarelawan dengan membawa nama Kerajaan Negeri Pahang.

Besar harapannya agar misi bantuan ini dapat memberi manfaat kepada mangsa di sana terutamanya pada saat-saat sangat memerlukan ketika ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram