Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 14 Jun 2022 : Pendengaran awam berkaitan projek Rancangan Khas Kawasan (RKK) Kampung Janda Baik yang ditangguhkan hari ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak zalim dalam menentukan sesuatu keputusan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia (pendengaran awam) ditangguhkan selepas menerima bantahan berikutan kajian teliti yang lebih menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengetahui lebih mendalam tentang perkara terbabit.
“Bila ada bantahan tersebut, saya ingin tahu lebih mendalam tentang masalah yang timbul berkenaan projek itu. Ini adalah proses biasa bagi setiap usaha yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri.
“Dakwaan mengatakan Kerajaan Negeri cuba mengambil tanah yang diusahakan oleh nenek moyang penduduk setelah sekian lama adalah sama sekali tidak benar.
“Projek ini mesti mendapatkan persetujuan oleh pemilik tanah dengan bayaran dan pampasan yang dipersetujui. Kita bukan zalim.
“Sekiranya keadaan ini merugikan orang ramai, kita tidak akan membuat tindakan sedemikian. Justeru kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2, Kluster Veteran Tentera dan Bekas Polis Peringkat Negeri Pahang di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, di sini hari ini.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.
Hadir sama Ketua Polis Pahang, YH. Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Negeri Pahang, Tuan Mohamed Lokman Mahmud serta Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Pahang, Kapt (B) Abdul Latif Mohd Nor.
Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa setakat ini projek berkenaan adalah dalam peringkat proses biasa dan masih belum mendapat kelulusan lagi.
“Ia belum mencapai keputusan muktamad dan berharap agar penduduk tidak keliru dengan keadaan ini.
“Sesi pendengaran awam akan dibuat untuk penduduk di Janda Baik bagi mendengar kebimbangan mereka selain mahu mendengar pendapat, pandangan serta idea daripada penduduk.
“Pembangunan RKK dan RTD perlu dirangka berdasarkan keperluan di Janda Baik dan banyak faktor perlu diambil kira untuk pertimbangan termasuk banjir yang berlaku baru-baru ini,” katanya.
Media tempatan hari ini melaporkan kira-kira 50 penduduk di Janda Baik, Bentong menggesa agar pihak terlibat dengan projek RTD dan RKK di kawasan kampung berkenaan tampil memberi penjelasan kepada penduduk terlibat.
Penduduk melahirkan rasa kesal apabila sesi pendengaran awam yang dijadualkan hari ini di Majlis Perbandaran Bentong (MBP) ditunda pada satu masa yang masih belum diketahui. -PAHANGMEDIA