Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 14 JUN 2022: Kerajaan Pahang memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar dapat membangunkan satu formula yang adil dan mudah untuk menyegerakan proses bayaran pampasan secara tunai atas komitmen negeri ini mengekalkan Hutan Simpan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang merupakan negeri yang menjadi penyumbang terbesar kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia dengan keluasan 2.04 juta hektar.
Beliau berkata, ketika ini, Pahang mempunyai Hutan Simpan Kekal (HSK) berkeluasan 1.6 juta hektar. Manakala kawasan berhutan di negeri ini adalah seluas 2.04 juta hektar, yang mewakili 57 peratus keluasan Negeri Pahang yang berkeluasan 3.6 juta hektar.
Menurut beliau, kawasan Hutan Simpanan Kekal ini merupakan kos lepas kepada Kerajaan Negeri yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam mengekalkan kawasan berhutan serta mewarta tambahan hutan simpanan kekal dan hutan tadahan air.

“Daripada 2.044 juta hektar kawasan berhutan di Pahang, 645,751 hektar iaitu bersamaan 32 peratus, telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan yang langsung ‘tidak boleh disentuh, apatah lagi diusik’ untuk kerja-kerja pembalakan.
“Selain itu, kawasan tadahan air di Pahang ialah seluas 343,680 hektar, dan jumlah ini meliputi 9.5 peratus dari keseluruhan jumlah keluasan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-19 Tahun 2022 “Adapting Forestry To New Reality” di Hotel Zenith di sini, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB. Datuk Seri Takiyuddin Hassan; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, YH. Dato’ Indera Mohd Ridza Awang; Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah, YBhg. Datuk Frederick Kugan; Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, YBhg. Datu’ Hamden Haji Mohammad; dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram.
Beliau juga berkata, Kerajaan Pahang juga telah mewartakan tambahan Hutan Simpanan Kekal seluas 7,641.44 hektar dan Hutan Tadahan Air seluas 780.94 hektar pada tahun lepas bagi memperbaiki fungsi dan peranan koridor ekologi Central Forest Spine bagi kawasan tadahan air serta flora dan fauna.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga bersetuju mewartakan Tanah Kerajaan yang telah dikenal pasti di kawasan sempadan membabitkan sempadan Pahang dengan Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor sebagai Hutan Simpanan Kekal yang dikenali sebagai Sempadan Hijau, sepanjang kira-kira 26.8 kilometer dengan keluasan 557.585 hektar.
“Bagi tanah milik pula, sebarang pembangunan meliputi jajaran selebar 500 meter di sepanjang sempadan negeri dipastikan agar dilaksanakan secara lestari. Kerajaan Negeri turut komited untuk mewartakan hutan-hutan yang terdapat di tebing-tebing sungai sebagai Hutan Simpanan Kekal, yang melibatkan lebih 2,000 sungai sepanjang 12,000 kilometer.
“Usaha ini, bukan sahaja dapat meningkatkan keluasan hutan dan juga kualiti air sungai di negeri ini, bahkan diharap dapat mengurangkan hakisan sungai dan risiko kejadian banjir di Negeri Pahang,” katanya.
Katanya, usaha ini wajar dipandang serius serta diberi penghargaan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan dan amat berharap Kerajaan Persekutuan dapat memudahkan dan menyegerakan proses bayaran pampasan.
Sebelum ini pada 21 November tahun lalu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan, Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan pampasan kepada Pahang berikutan komitmen negeri ini mengekalkan Hutan Simpan dengan jumlah tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, pihaknya akan mencari formula terbaik bagi menilai jumlah pampasan tersebut.
“Mengenai pengorbanan kerajaan Pahang untuk mengekalkan Hutan Simpan, sebenarnya Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberikan pampasan kepada Pahang dan mana-mana negeri yang mengekalkan hutan simpan mereka,” katanya.-PAHANGMEDIA