YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BBP) kepada seorang penerima pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2, Kluster Veteran Tentera dan Bekas Polis Peringkat Negeri Pahang di Dewan Dato' Zaharuddin Abu Kassim, Temerloh

BANTUAN PRIHATIN PAHANG KLUSTER APRESIASI TANDA INGATAN KEPADA VETERAN TENTERA, POLIS

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

TEMERLOH, 14 Jun 2022 : Kerajaan Pahang terus melebarkan keprihatinan dan tanggungjawab terhadap rakyat melalui Bantuan Prihatin Pahang 2022 yang ditambah kepada empat lagi kluster termasuk Kluster Apresiasi yang memperuntukkan bantuan khas untuk veteran tentera dan bekas polis.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi Kluster ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan tunai secara one-off sebanyak RM200 kepada 8000 orang veteran tentera dan 1000 orang bekas polis dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.8 juta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BBP) kepada seorang penerima pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2, Kluster Veteran Tentera dan Bekas Polis Peringkat Negeri Pahang di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Temerloh

“Inilah adalah usaha berterusan Kerajaan Negeri dari masa pandemik (Covid-19) sehingga kini dan InsyaAllah usaha ini akan diperhebatkan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2, Kluster Veteran Tentera dan Bekas Polis Peringkat Negeri Pahang di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Hadir sama Ketua Polis Pahang, YH. Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Negeri Pahang, Tuan Mohamed Lokman Mahmud serta Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Pahang, Kapt (B) Abdul Latif Mohd Nor.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menggambarkan bahawa jumlah bantuan berkenaan bakal dinaikkan pada masa akan datang selepas kedudukan kewangan negeri menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

“InsyaAllah kita akan tambah (peruntukan) lagi sebab saya nampak prestasi keputusan hasil Kerajaan Negeri bertambah baik dan sekarang dah dapat RM670 juta.

“Jadi ini adalah janji Kerajaan Negeri di mana kita akan bagi balik kepada rakyat sama ada dalam bentuk barangan mahupun tunai.

“Sasaran hasil (RM1 billion) yang diletakkan juga bukan saja-saja nak letak, bukan mimpi, kita ada kaedah-kaedah tertentu..kita berfikir, berbincang dengan pegawai kerajaan khususnya dan apabila kita rasa ada peluang-peluang yang mana kita boleh uruskan ketirisan dan kebocoran untuk tingkat pendapatan,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa yakin untuk mencapai sasaran hasil berkenaan selepas pencapaian hasil yang menunjukkan peningkatan berterusan sebelum ini iaitu RM866 juta (2021) RM850 juta (2020) dan RM843 juta (2019).

“Sehingga hari ini saya begitu optimis bahawa sasaran kutipan hasil sebanyak RM1 bilion ini akan dapat dicapai di mana saya dapati ada lagi ruang-ruang yang kita boleh tingkatkan hasil tanpa membebankan rakyat,” katanya.

Selain daripada Kluster Apresiasi, Bantuan Prihatin Pahang 2022 turut
merangkumi tiga lagi kluster iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster
B40 dan Kluster Umum dengan peruntukan keseluruhan berjumlah
RM30 juta yang memberi manfaat kepada 300,000 orang penerima. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram