Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
JERANTUT, 11 JUN 2022 : Kewujudan Nature Lifeguard yang pertama di Taman Negara, Kuala Tahan di sini dilihat mampu menjadi nilai tambah kepada destinasi pelancongan tumpuan ramai ini.
Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, YB Dato’ Sri Haji Sh Mohmed Puzi Sh Ali berkata, beliau yakin dan percaya bahawa keindahan semula jadi ini akan mendapat tempat di hati lebih ramai pelancong ekoran jaminan keselamatan yang lebih baik.
“Ini adalah usaha terbaik oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pahang (APM Pahang) merintis jalan bagi Nature Lifeguard ini diwujudkan di tempat-tempat lain di negara ini.
“Pasukan ini (Nature Lifeguard) penting kerana pelancongan di kawasan ini berkait rapat dengan pergerakan di hutan, Sungai dan juga pergerakan bot, sampan, jadi ini memungkinkan sebarang musibah yang memerlukan pasukan yang mampu memberi bantuan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas majlis perasmian Nature Lifeguard di Jeti Kuala Tahan, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan APM, Encik Yoon Boon Chew, Setiausaha Agung MAPIM, Encik Zulhanis Zainol serta pemimpin setempat.
Pada majlis sama, APM turut menerima sebuah bot beserta enjin daripada Malaysia Consultative Council of Islamic Organization (MAPIM) bagi kegunaan Nature Lifeguard Kuala Tahan.
Menerusi sumber portal Tourism Pahang, statistik ketibaan pelancong di Kuala Tahan telah merekodkan seramai lebih kurang 89,000 orang (2017), 83,000 orang(2018) dan 77,000 orang(2019) sebelum tiada jumlah kedatangan direkodkan ekoran penularan wabak COVID-19.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, penubuhan pasukan Nature Lifeguard ini dianggotai mereka yang telah dilatih dan dilengkapkan dengan peralatan menyelamat serta kemahiran menolong seperti Asas Pertolongan Cemas, Asas Renang, Asas Menyelamat Di Air, Search And Resque(SAR) serta berkemahiran mengendalikan bot.
“Pasukan “Nature Lifeguard” ini terdiri daripada penduduk tempatan yang merupakan anggota sukarela Pertahanan Awam dan ada juga anggota yang terdiri daripada Orang Asli Kaum Bateq di sini.
“InsyaAllah kita akan perluaskan ke lokasi lain nanti, setakat ini kita ada pasukan penyelamat pantai di Teluk Cempedak, Batu Hitam, Pulau Tioman dan tidak lama di Pantai Hiburan, Kuala Rompin,” katanya.
Katanya lagi, keselamatan pelancong amat dititikberatkan oleh semua pihak berwajib dan mewujudkan pasukan keselamatan ini akan memberi kesan yang positif dan memberi keyakinan kepada pelancong-pelancong yang.
Katanya lagi, sekiranya berlaku sebarang kecemasan, tindakan pantas membantu dan menyelamat dapat dilakukan petugas sekali gus pengurangan masa untuk tindakbalas kecemasan dapat ditingkatkan dan risiko kecederaan atau bahaya kepada mangsa dapat dikurangkan. -PAHANGMEDIA