Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Mitigasi Banjir : Strategi Untuk Kelestarian Alam Sekitar" di Dewan Yayasan Pahang, di Kuantan.

KERAJAAN PAHANG ANJUR SEMINAR MITIGASI BANJIR SEBAGAI SOLUSI ATASI BENCANA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 4 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang menerusi Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) menganjurkan Seminar Hibrid “Mitigasi Banjir : Strategi Untuk Kelestarian Alam Sekitar” bertujuan mencari solusi bagi mengatasi bencana banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, penganjuran seminar ini adalah pada waktu yang tepat memandangkan beberapa daerah di Pahang baru sahaja berhadapan dengan banjir sejak Disember 2021 hingga Januari 2022 lalu.

Antara peserta yang terlibat dalam Seminar Mitigasi Banjir : Strategi Untuk Kelestarian Alam Sekitar” di Dewan Yayasan Pahang, di Kuantan.

“Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sangat serius dalam hal ini, kita telah pun meluluskan rang undang-undang iaitu Majlis Biodiversiti untuk memastikan kerajaan dapat menjaga alam flora dan fauna di negeri ini.

“Dalam masa yang sama juga, kita berusaha mempersiapkan pelan strategi alam sekitar untuk menghadapi masa-masa mendatang,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Seminar Mitigasi Banjir : Strategi Untuk Kelestarian Alam Sekitar” di Dewan Yayasan Pahang, di Kuantan.

Hadir sama ialah Naib Canselor UCYP, YH. Profesor Emeritus, Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin.

Barisan panel terdiri daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dato’ Ir. Dr. Md Nasir Md Noh, Pengarah JPS Pahang, YH. Ir. Roslina Yusop, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia dan Felo Penyelidik Utama Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YH. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo dan Ketua Laboratori Ekosistem Akuatik dan Pengurusan I-AQUAS, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Abdullah.

Seminar ini bertujuan mengupas isu bencana banjir, merungkai dan mencari solusi daripada pakar-pakar alam sekitar dengan dihadiri 150 peserta secara fizikal dan 350 peserta secara atas talian.

YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar berkata, penganjuran seminar ini adalah tepat pada waktunya untuk mencari penyelesaian dan mendengar pandangan-pandangan daripada pakar-pakar yang mengetahui tentang kejadian bencana banjir yang berlaku saban tahun di Pahang.

Dalam pada itu, katanya, seminar ini juga sangat baik untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap situasi sebenar banjir yang berlaku terutama apabila Kerajaan Pahang terpaksa berhadapan tohmahan-tohmahan daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Jadi sebab itulah kita mengumpulkan cendekiawan-cendekiawan yang ada pada hari ini untuk kita mendengar sendiri apakah sebenarnya yang berlaku dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya kerana isu alam sekitar merupakan isu yang besar,” katanya.

Kerajaan juga bercadang menganjurkan seminar berkaitan Environment Sustainable Governance (ESG) dalam masa terdekat bagi mendedahkan masyarakat berkenaan ESG dalam melestarikan alam sekitar.- PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram