YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan

SIDANG DEWAN : KERAJAAN LULUS RANCANGAN TEBATAN BANJIR SUNGAI SEMANTAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
 
KUANTAN, 1 APRIL 2022 : Pihak kerajaan telah meluluskan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Semantan bagi Fasa 1 dalam RP2 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
 
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek RTB ini telah pun ditender pada bulan November 2021 oleh Ibu Pejabat JPS Malaysia.
 
“Walaubagaimanapun, Surat Setuju Terima hanya akan dikeluarkan selepas permohonan peruntukan tambahan diluluskan bagi proses pengambilan balik tanah,” katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Mentakab, YB. Encik Woo Chee Wan berhubung projek tebatan banjir di Mentakab pada penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
 
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menjawab kepada ADN Triang, YB. Cik Leong Yu Man berhubung perancangan pembangunan bagi mengelakkan banjir di Triang, beliau berkata, kerajaan melalui JPS telah memasukkan permohonan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Triang dalam RP3 RMK-12 dengan anggaran kos RM92.5 juta.
 
“Selain itu, Kajian Pelan Induk Mesra Alam (PISMA) Bera juga telah diluluskan dalam senarai projek pembangunan bagi RP2, RMK-12 dan perlaksanaan dijangka bermula pada pertengahan tahun 2022,” katanya.
 
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri komited membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang terutama yang kehilangan atau kerosakan rumah dengan mengadakan kerjasama bersama pelbagai pihak.
 
“Kerajaa Negeri telah bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sudi memberikan sumbangan untuk membina rumah baharu yang musnah ketika banjir,” katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, YB. Puan Young Syefura Othman berhubung bantuan membina rumah rosak akibat banjir pada penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
 
Jelasnya, pada masa sama, rumah-rumah yang mengalami kerosakan akibat banjir turut dibaikpulih oleh agensi-agensi di bawah KPLB dan KPKT dan dijangka selesai pada penghung April 2022.
 
“Manakala bagi rumah-rumah yang akan dibina semula, kerja-kerja pembinaan akan bermula sebaik sahaja peruntukan diperolehi pada awal April 2022 bagi dana sumbangan Kedutaan UAE, peruntukan KPLB, KPKT, MUIP dan sumbangan NGO,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram