Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 29 MAC 2022 : Kerajaan Pahang telah meluluskan perlanjutan tempoh pegangan dan pajakan hak milik tanah kepada 23 permohonan sepanjang tahun 2021.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permohonan yang telah diluluskan membabitkan enam daerah iaitu Kuantan dengan 12 permohonan yang diluluskan, Lipis dan Temerloh masing-masing dengan tiga kelulusan, Cameron Highlands dan Jerantut masing-masing dua kelulusan, manakala Rompin dengan satu kelulusan diberikan.
Menurutnya, kerajaan akan mempertimbangkan permohonan bagi melanjutkan tempoh pegangan hak milik dengan memastikan bahawa tanah terbabit masih mempunyai baki tempoh pajakan dan pegangan hak milik.
“Kerajaan juga tidak akan melanjutkan tempoh pajakan dan pegangan sekiranya berlaku pelanggaran syarat sama ada di bawah Seksyen 115, 116, 117 atau 125, Kanun Tanah Negara sehingga remedi (remedy) selesai dilaksanakan.
“Atau bagi permohonan yang belum menyelesaikan dan menyempurnakan pengubahan Kategori atau Syarat Nyata tanah bawah Seksyen 124 atau 124 (c), Kanun Tanah Negara terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5, Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Tambahnya, kerajaan juga akan menolak permohonan sekiranya pemohon belum menyelesaikan permohonan di bawah Kaedah 58 (B), Kaedah-kaedah Tanah Pahang 1992.
Menjawab soalan YB. Encik Lee Ah Wong berhubung kesukaran pemohon menjelaskan bayaran atau caj tertentu setelah permohonan diluluskan, YB. Dato’ Haji Wan Rosdy berkata, pemohon boleh mengemukakan rayuan dengan menyatakan alasan dan sebab bagi mendapatkan pengurangan premium bayaran.
“Kerana bukanlah dasar kita jika tidak mampu, kita akan rampas tanah, kerana dasar kerajaan adalah untuk memastikan tanah-tanah di bumi Pahang dapat diurus dan diatur dengan baik dan kita ada peraturan, syarat dan proses-proses yang perlu dipatuhi,” katanya. – PAHANGMEDIA