Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 29 MAC 2022 : Kerajaan sedang meneliti pelbagai aspek, keselamatan dan kesesuaian struktur rumah-rumah rakit di negeri ini sebelum dimasukkan ke dalam garis panduan Program Pengalaman Homestay Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, buat masa ini, rumah-rumah rakit masih dalam penelitian oleh pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk dimasukkan dalam garis panduan pengalaman homestay Malaysia bagi memastikan ianya benar-benar selamat dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Antara syarat-syarat yang ditetapkan adalah bagi sesebuah Homestay ianya sekurang-kurangnya mempunyai 10 buah rumah yang mempunyai agihan bilik-bilik (1 atau 2 bilik) bagi membolehkan pelancong tinggal bersama ahli keluarga.
“Walau bagaimanapun, rumah rakit adalah penginapan alternatif yang disediakan oleh individu tertentu terutamanya bagi peminat-peminat aktiviti memancing justeru perbezaan ketara di antara dua jenis penginapan ini memerlukan penilaian dan penelitian terutamanya dari segi keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Tuan Ir. Razali Kassim pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5, Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Menurutnya, konsep penginapan alternatif seperti ini diharap dapat menambah aktiviti sedia ada khususnya di Pahang.
Justeru, garis panduan ini diperlukan supaya ianya boleh didaftarkan di bawah kerajaan tempatan bagi membolehkan pemantauan dilakukan terhadap rumah rakit ini. – PAHANGMEDIA