Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim & Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 28 MAC 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Ahli Dewan Negeri (ADN) mengikis sikap mementingkan diri sendiri.
Baginda bertitah semua pihak haruslah berpegang pada semangat tidak mementingkan diri sendiri sahaja demi kebajikan dan kemakmuran rakyat di negeri ini.
“Saya menyeru semua Ahli Dewan agar sentiasa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang. Ingatlah bahawa yang tinggi tampak jauh, yang dekat julang bersua.
“Sikap ‘seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ haruslah dikikis dalam kalangan Ahli Dewan ini.
“Sebaliknya semua Ahli Dewan harus berpegang pada semangat ‘adat bernegeri, memagar negeri, adat berkampung, memagar kampung’, demi kebajikan dan kemakmuran rakyat saya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan, YAB Menteri Besar Pahang dan barisan pentadbiran Kerajaan Pahang atas usaha memakmurkan Negeri Pahang.
“Ahli-ahli Yang Berhormatlah yang dipilih untuk terus menggalas amanah memelihara rakyat saya secara akar umbi.
“Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Negeri, ketua-ketua jabatan dan semua kakitangan awam yang terlibat dalam urus tadbir Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.
“Semoga Allah SWT membalas jasa dan budi yang ditaburkan dengan ganjaran pahala dan kebaikan,” titah baginda. -PAHANGMEDIA