Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
TEMERLOH, 27 MAC 2022 : Masjid Kampung Tebal yang terlibat di dalam projek pembinaan menaiktaraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah masih dapat digunakan buat sementara waktu oleh penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, ini bagi memastikan penduduk setempat dapat menunaikan ibadah sementara masjid baharu siap sepenuhnya.
“Kebenaran penggunaan masjid ini bagi memastikan keselesaan pengguna masjid di sini (Kampung Tebal) untuk menunaikan ibadah supaya tidak terganggu khususnya menjelang Ramadan.
“Walaupun secara atas kertas, tapak masjid ini terlibat secara langsung dalam pengambilan balik tanah projek tetapi pihak kita cuba memastikan operasi masjid ini tidak terjejas sehingga mendapat peruntukan untuk pembinaan masjid yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika melawat tapak pembinaan di Kampung Tebal di sini.
Beliau berkata pihaknya juga sedang cuba untuk membuat sedikit pindaan ke atas struktur jambatan sekiranya boleh dilakukan.
“Dari segi struktur binaan jambatan ini hanya sedikit sahaja menjejaskan masjid ini, hanya melibatkan bangunan tandas masjid sahaja. Itu pun dari segi struktur binaannya iaitu longkang. Selebihnya tapak masjid ini termasuk dalam reserve jalan.
“Jadi sementara menunggu masjid baharu ini, kita akan menggelakkan kerja-kerja yang dijalankan ini menjejaskan kawasan masjid dan mungkin juga kita cuba buat sedikit pindaan ke atas struktur binaan jambatan itu selagi ianya tidak memberi kesan kepada kesesuaian struktur binaan jambatan yang dibuat itu,” katanya.
Tambah beliau lagi, lokasi masjid baharu juga tidak akan menjejaskan penduduk kampung terlibat selain dapat memberi keselesaan kepada pengguna masjid kelak.
“Kalau kita tengok, masjid yang ada ini juga telah lama dan uzur, jadi pembinaan masjid baharu nanti diharap dapat memberi keselesaan kepada para jemaahnya.
“Tapak masjid baharu itu juga sebenarnya dipindahkan hanya ke seberang jalan dari masjid sekarang ini iaitu kira-kira 100 meter sahaja,” katanya.
Projek menaiktaraf jambatan ini daripada dua lorong kepada empat lorong dengan nilai sebanyak RM102 juta dijangka selesai pada Mac 2024. – PAHANGMEDIA