YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan cek sumbangan Kerajaan Negeri kepada Encik Bakri Yasan, 58, dari Kampung Gintong

BANTUAN KERAJAAN TANDA KASIH SAYANG UNTUK RAKYAT MEMERLUKAN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

JERANTUT, 27 MAC 2022 : Sumbangan cek Kerajaan Negeri kepada golongan yang memerlukan di negeri ini diterima dengan rasa sebak dan syukur.

Bagi Encik Ahmad Syahir Abd Wahab dari Kampung Bukit Nikmat, sumbangan yang diberikan banyak meringankan bebannya selepas terkena penyakit strok saraf pada bulan Oktober tahun lalu.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu jengkaut untuk menampung perbelanjaan dan keperluan isteri serta tiga orang anak berusia 13, lapan dan enam tahun.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan cek sumbangan Kerajaan Negeri kepada seorang penerima

“Terima kasih kepada MB (Menteri Besar) kerana telah menghulurkan bantuan sebanyak RM3,000. Ia sangat membantu saya yang tidak mampu lagi bekerja seperti sebelum ini,” katanya.

Sementara itu bagi Encik Bakri Yasan, 58, dari Kampung Gintong menyifatkan bantuan ini sedikit sebanyak memberi semangat kepada isterinya, Puan Salbiah Hamzah, 45, yang kini sedang berjuang melawan sakit kanser usus yang dihidapi.

Menurut beliau yang bekerja sebagai pekerja am di Bahagian Loji, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Jerantut, penyakit isterinya mula dikesan pada tahun lalu.

“Bila makan rasa tak selesa, nak buang air pun tak boleh dia mengadu kesakitan, lepas tu masa PKP kita buat rawatan di dua buah hospital dan klinik swasta barulah penyakit isteri dikesan dan disahkan sebagai kanser usus.

“Kanser isteri kini berada pada tahap tiga (stage 3), namun dia masih boleh menguruskan diri sendiri dan anak-anak buat masa sekarang. Dia masih bergantung pada ubat kimo dan pada bulan depan ada ujian yang perlu dilakukan ke atasnya bagi melihat sama ada kanser berkenaan semakin merebak atau tidak,” katanya.

Pada kesempatan itu beliau turut menyampaikan rasa penghargaan kepada Kerajaan Negeri di atas keprihatinan terhadap nasib yang menimpa isterinya.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana sudi membantu meringankan beban saya, terima kasih banyak-banyak,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download