Majlis Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PAIP yang turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

PROJEK BEKALAN AIR NENASI DITERUSKAN DENGAN KOS RM18 JUTA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali

BENTONG, 27 MAC 2022 : Projek bekalan air Nenasi yang sebelum ini diberhentikan pembinaannya buat sementara waktu kini diteruskan kembali dengan nilai kos sebanyak RM18 juta yang ditampung bersama oleh Kerajaan Pahang dan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang yang juga Ahli Lembaga Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata projek berkenaan diberhentikan sementara waktu selepas pertukaran Kerajaan sebelum ini.

“Setelah Kerajaan bertukar tangan sebelum ini, projek ini diberhentikan sementara waktu dan Kerajaan Negeri berusaha untuk memastikan projek bekalan air ini dapat disambung semula.

“Ini berikutan persetujuan Kerajaan Negeri bersama YAB Menteri Besar Pahang yang sudi memberikan tambahan peruntukan lebih kurang RM5.2 juta supaya projek air Nenasi ini dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PAIP di Swiss Garden Hotel di sini.

Beliau berkata sumber air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Nenasi adalah daripada sumber air bawah tanah dan apabila musim kemarau, kualiti dan kuantiti air mentah ini terjejas.

“Dengan itu, untuk menjamin sumber bekalan air yang berterusan di kawasan ini disamping dapat menyelesaikan masalah tekanan air yang rendah, sumber air terawat untuk kawasan Nenasi dan sekitarnya diperolehi dari LRA Ganchong, Pekan,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari, projek yang dijangka dapat diselesaikan kira-kira 18 bulan ini melibatkan pemasangan paip dari Tanjung Agas sehingga ke Kampung Merchong sejauh 53 kilometer.

“Ia melibatkan pemasangan paip dari Tangki Tanjung Agas ke Tangki Sungai Miang sejauh 17km; pemasangan paip Tangki Tanjung Agas ke Tangki Keledang (3km); pemasangan paip dari Tangki Sungai Miang ke Tangki Nenasi (17km).

“Pemasangan paip dari Tangki Nenasi ke Tangki Serun (13km); dan pemasangan paip dari Kampung Serun ke tangki sedia ada di Kampung Merchong (3km).

“Selain itu, ia juga melibatkan pembinaan tangki sedutan, tangki imbangan dan rumah pam di Sungai Miang; pembinaan tangki sedutan, tangki imbangan dan rumah pam di LRA Nenasi; serta pembinaan tangki sedutan, tangki imbangan, dan rumah pam di Kampung Serun,” katanya.

Projek ini akan dapat membantu menyelesaikan masalah air melibatkan kira-kira 400 akaun di kawasan Tanjung Agas, Kampung Sungai Miang, Kampung Serun, Kampung Merchong, perkampungan Orang Asli seperti Kampong Selingkung, Kampung Api Larat, Kampung Landai dan kampung sekitarnya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download