KUANTAN, 22 MAC 2022: Penyewa tanah pertanian di atas tanah milik Kerajaan Pahang di Cameron Highlands meminta Kerajaan Negeri mengambil tindakan tegas terhadap segelintir penyewa yang enggan menjelaskan sewa tanah di kawasan tersebut.
Seorang penyewa yang enggan dikenali memberitahu, adalah tidak adil bagi mereka yang sudah menjelaskan sewa sedangkan mereka yang masih tidak membayar sewa tidak dikenakan sebarang tindakan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang culas membayar sewa agar tindakan mereka ini tidak menjadi ‘barah’ kepada penyewa lain.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membuka lot tanah pertanian ini kepada masyarakat di kawasan ini dan ia banyak membantu dari aspek ekonomi kami.
“Boleh dikatakan hasil tuaian pertanian di lot tanah ini boleh mencecah lima angka sekali tuai dan saya rasa tiada masalah bagi mana-mana penyewa untuk menjelaskan sewa yang saya rasa sangat berpatutan iaitu RM4,500 seekar setahun.
“Saya juga bimbang sekiranya tindakan tidak diambil, ia akan menyebabkan ada dalam kalangan penyewa yang terikut-ikut dengan tindakan mereka (tidak membayar sewa) dan ini akan merugikan Kerajaan Negeri sendiri,” katanya ketika menghubungi Pahang Media.
Beliau juga berkata, adalah lebih baik agar lot tanah golongan tidak membayar sewa ini disewakan kepada penyewa lain yang boleh memberikan komitmen.
Pada 30 Januari 2020, Kerajaan Negeri menawarkan Skim Sewaan Tanah Jangka Sederhana lebih 5,000 hektar tanah berstatus Lesen Pemilikan Sementara (LPS) kepada kira-kira 1,000 pengusaha kebun dan pemegang tanah tol di Cameron Highlands.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua tanah yang ditawarkan itu membabitkan tiga mukim di daerah berkenaan dengan tempoh penyewaan selama tiga tahun, dan tertakluk kepada syarat tertentu.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersetuju semua tanah berstatus LPS akan dipecahkan kepada 78 blok membabitkan keluasan keseluruhan 5,526.219 hektar.
“Tanah itu akan dipecahkan kepada tiga mukim iaitu Ulu Telom dengan 58 blok yang berkeluasan 5,040.005 hektar; Mukim Ringlet, 14 blok (467.746 hektar) dan Mukim Tanah Rata, enam blok (18.468 hektar),” katanya.
Dalam pada itu, terdapat juga aduan orang ramai yang mendakwa ada golongan petani melakukan pelanggaran rizab jalan, sungai dan hutan di Cameron Highlands seperti mana yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa menerusi Ops Gading dan Ops Lestari.

Seorang pengadu yang juga enggan dikenali memaklumkan, beliau mendapati pelanggaran ini telah menyebabkan kerosakan dan kesesakan jalan selain mencemarkan sungai dan juga hutan.
Beliau berkata, tindakan menceroboh ini sama sekali salah di sisi undang-undang dan sewajarnya tindakan tegas perlu dilaksanakan.
“Kerajaan telah melaksanakan Ops Gading dan Ops Lestari bermula pada 2015 sehingga 2021 lalu dan kita lihat sepanjang operasi itu petani di Cameron Highlands akur dan patuh terhadap arahan penguatkuasaan.
“Bagaimanapun sejak kebelakangan ini sudah ada segelintir petani yang berani melanggar arahan tersebut dan saya amat berharap pihak Kerajaan mengambil tindakan terhadap golongan ini agar kejadian pencemaran dan kemusnahan alam yang pernah berlaku sebelum ini dapat diatasi segera,” katanya. – PAHANGMEDIA