YAB Menteri Besar Pahang, Dato; Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan cek Kerajaan Negeri kepada Encik Saiful Afzan Abd Rahman, 45, hari ini.

SUMBANGAN KERAJAAN PAHANG DIANGGAP REZEKI TAK DISANGKA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 22 MAC 2022 : Sumbangan Kerajaan Negeri bagi membantu anaknya melanjutkan pelajaran dianggap rezeki yang tidak disangka-sangka sama sekali.

Encik Ahmad Muzzaffar, 48, dari Kampung Padang berkata, dia tidak menyangka panggilan telefon yang diterima awal pagi ini membawa berita gembira buat anaknya.

“Rasa tak tahu nak cakap macam mana perasaan bila tahu dapat bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk pembelian komputer riba dan pencetak bagi kegunaan belajar anak saya.

“Saya tidak mampu nak beli komputer riba bagi kegunaan anak saya belajar dengan dua lagi anak bersekolah juga, dan sebelum ini dia (anak) pinjam (komputer riba) kawan-kawan untuk belajar,” katanya.

Encik Ahmad melahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Kerajaan Pahang dan juga YAB Menteri Besar Pahang dengan sumbangan bantuan sebanyak RM2,500 ini.

“Terima kasih banyak-banyak Kerajaan Negeri, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy yang menyampaikan bantuan ini, terima kasih yang tak terhingga,” katanya yang bekerja sebagai penghantar surat di PosLaju.

Sementara itu, anaknya Muhammad Aliff Hafizzi Ahmad, 19, berkata dia merasa terharu dengan bantuan yang diberikan Kerajaan Pahang dan menggangap dirinya sebagai bertuah kerana menerima bantuan hari ini.

“Saya rasa terharulah dapat bantuan ini sebab ramai lagi orang yang tak dapat dan rasa bertuahlah. Saya rasa bersyukur jugalah kepada Kerajaan Negeri dan Menteri Besar atas bantuan ini.

“Hari ini first time jumpa Menteri Besar, rasa teruja dan nervous juga sebab dapat jumpa orang berpengaruh macam ini sendiri,” katanya yang merupakan penuntut jurusan kejuruteraan awam semester kedua di UiTM Jengka.

Seorang lagi penerima, Encik Saiful Afzan Abd Rahman, 45, yang menerima bantuan bernilai RM5,000 bagi membeli kaki palsunya turut berterima kasih kepada Kerajaan Pahang diatas sumbangan ini.

“Rasa seronok, suka sangatlah bila dapat bantuan ini. Dapatlah saya guna untuk tampung kos kaki palsu yang ditempah berharga RM12,000,” katanya yang menghidap kencing manis.

Kerajaan Pahang melalui YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada 28 penerima bernilai RM121,800 di Wisma Sri Pahang hari ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download