Oleh : Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
JERANTUT, 20 MAC 2022 : Kerajaan Pahang akan mengkaji cadangan untuk menjadikan Bukit Merah atau The Red Forest di Jerantut sebagai kawasan rizab yang baharu di negeri ini.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri. Dr. Sallehuddin Ishak berkata, cadangan itu bertujuan untuk memelihara dan menjaga kawasan terbabit kerana lokasi itu kaya dengan hasil alam semulajadi untuk diteroka pengunjung khususnya pendaki.
“Terdapat juga saranan daripada pegawai-pegawai bersama dengan saya tadi dari Pejabat Perhutanan dan Pejabat Daerah yang mencadangkan supaya Bukit Merah ini dijadikan salah satu lagi rizab yang baharu dan saya merasakan itu adalah cadangan yang agak baik dan kita akan kaji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sama-sama mendaki ke puncak Bukit Buloh, di sini pada Program ‘Pahang Hiking Day 2022’ yang diadakan serentak di seluruh Pahang melibatkan 13 lokasi yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kerajaan Pahang, Tourism Pahang dan Pahang Media.
Dato’ Sri Dr. Sallehuddin berkata, Bukit Merah mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri kerana wujudnya spesis pokok berwarna merah seakan bonzai yang menjadikan hutan tersebut berbeza dari lokasi lain.
Malah katanya, bukit itu juga sangat sesuai untuk aktiviti rekreasi dan pendakian serta boleh disertai pelbagai peringkat umur.
“Bukit Merah ini adalah kawasan rekreasi yang agak sesuai untuk semua golongan sama ada belia, dewasa, dan juga org yang berumur, kawasan ini selamat untuk berekreasi tetapi mesti mengikut SOP yang betul,” katanya.
Beliau turut menasihati para pendaki agar mematuhi arahan daripada pendaki berpengalaman sebelum memulakan pendakian kerana terdapat lokasi yang agak curam. – PAHANGMEDIA